
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menyeru usahawan supaya terus melangkah ke hadapan dengan memanfaatkan segala perkhidmatan, peluang serta sokongan disediakan agensi dan jabatan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan lain-lain.
“Pada masa sama, peluang perkhidmatan dan sokongan daripada agensi dan jabatan kepada usahawan di Perlis perlu diperluaskan lagi untuk merancakkan ekonomi rakyat melalui pelbagai inisiatif yang telah disusun,” titah baginda semasa berkenan merasmikan Karnival Jualan Agro Madani di Pasar Tani Kekal Simpang Empat.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah setiap usahawan ialah duta kecil kepada Perlis yang perlu membawa nama baik negeri itu dengan penuh rasa tanggungjawab dan maruah diri ketika memperkenalkan produk atau menyertai program mahupun di ruang media sosial.
“Oleh itu, rebutlah segala peluang yang ada, tuntutlah ilmu, luaskan pasaran produk negeri Perlis serta jangan sekali-kali mengabaikan hubungan kita dengan Allah SWT (sebagai) sumber keberkatan dan kekuatan dalam setiap langkah perjuangan mencari rezeki serta pendapatan,” titah baginda.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) Fama, Shahrizan Sudiman, berkata karnival yang berlangsung empat hari bermula semalam itu menyasarkan nilai jualan RM437,000 dengan penyertaan 60 usahawan pelbagai komoditi.
Beliau berkata, penganjuran karnival itu bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat menerusi tawaran barangan keperluan harian dengan harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran serta memperkenalkan produk tempatan kepada pengunjung luar.
“Antara barangan yang ditawarkan ialah daging tempatan, ayam segar, telur ayam, sayur-sayuran dan produk Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT) selain 1,800 set Kombo Madani bernilai RM10 yang menjadi tarikan utama pengunjung,” katanya.