
Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), Christina Tee, berkata syarikat dalam sektor pembuatan dan berorientasikan eksport amat bimbang terhadap situasi itu.
“Walaupun terdapat pelepasan tarif dan usaha mengurangkan kos, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih berdepan kos input import yang tinggi.
“Kerajaan boleh memperkenalkan skim pulangan tarif sementara atau dana sokongan bahan mentah bagi menampan gangguan rantaian bekalan,” katanya.
Dalam jangka panjang, pengukuhan sumber tempatan dan galakan terhadap pengelompokan industri dapat mengurangkan pendedahan PKS kepada ketidaktentuan tarif global.
Tee turut menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan e-invois dan penilaian sendiri bagi duti setem, namun menyeru agar panduan dan insentif yang lebih jelas diberikan bagi membantu PKS melakukan peralihan dengan lancar.
Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), William Ng, pula berkata penting untuk memperluas sokongan eksport dan pasaran berikutan ‘persekitaran tarif yang tidak menentu’.
Beliau berkata peluasan ke pasaran serantau dapat membantu PKS menghadapi kejutan tarif.
Ng mengalu-alukan penekanan belanjawan terhadap kapasiti eksport dan integrasi serantau, dengan menyebut jaminan eksport SJPP bernilai RM5 bilion, geran pasaran RM60 juta melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), serta peluasan Dana Pelaburan Bersama Malaysia (Malaysia Co-Investment Fund) ke peringkat Asean sebagai langkah tepat untuk membantu PKS memperkukuh penyertaan serantau dan mengurangkan kesan tarif.
Ng berkata belanjawan kali ini menangani banyak keutamaan jangka panjang PKS, khususnya berkaitan akses kepada pembiayaan, sokongan inovasi dan integrasi perdagangan serantau.
“Kami gembira melihat kerajaan mengembangkan jaminan kredit kepada RM30 bilion daripada RM20 bilion sebelumnya dan komited kepada RM50 bilion dalam jumlah sokongan pembiayaan PKS. Ini secara langsung menangani salah satu kebimbangan utama dalam kalangan PKS,” katanya kepada FMT.
Ng menambah bahawa tumpuan terhadap pendigitalan, penggunaan kecederdasan buatan (AI) dan automasi selaras dengan seruan PKS untuk mendapatkan sokongan praktikal dalam meningkatkan produktiviti.
Pemimpin perniagaan swasta PwC Malaysia, Fung Mei Lin, pula berkata cabaran utama selepas ini ialah meningkatkan kesiapsiagaan operasi PKS untuk mematuhi piawaian antarabangsa serta mendapatkan akses kepada pembiayaan dan jaminan yang diumumkan dalam belanjawan.
“Keupayaan PKS untuk memohon dan layak bagi skim-skim ini akan menjadi faktor kritikal — dan ia memerlukan peningkatan kapasiti,” katanya.