Rundingan perdagangan AS, reformasi Asean tingkat prospek syarikat

Rundingan perdagangan AS, reformasi Asean tingkat prospek syarikat

Pengerusi ABAC Nazir Razak gesa syarikat manfaat usaha dilakukan pihaknya ketika kepengerusian Malaysia.

Nazir Razak
Nazir Razak menekankan keperluan mendapatkan perjanjian terbaik dengan AS sambil mengambil kira gambaran besar yang perlu diuruskan.
KUALA LUMPUR:
Perniagaan di Asia Tenggara mahukan akses lebih besar ke pasaran Amerika Syarikat (AS) serta syarat lebih adil dalam perjanjian perdagangan baharu, namun ia mesti diseimbangkan dengan kesan lebih meluas kepada rantau ini.

Mengulas rundingan perdagangan sedang berlangsung antara AS dan negara anggota Asean, Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan Asean (ABAC), Nazir Razak, berkata senarai ‘permintaan’ syarikat di Malaysia dan seluruh Asean adalah jelas.

“Mereka hanya minta perkara asas, sama seperti sebelum ini — akses ke pasaran AS dan pengurangan tarif,” katanya kepada FMT.

Namun, beliau mengingatkan rundingan perdagangan dengan Washington juga perlu meringankan beban ke atas ekonomi negara anggota Asean, memandangkan perjanjian itu tidak boleh dilihat secara berasingan.

“Masih banyak perkara tidak jelas berhubung tarif sifar AS dari luar, dan apa maksudnya terhadap negara lain,” katanya merujuk prinsip ‘most-favoured nation’ (MFN) yang mewajibkan Asean memberikan layanan tarif sama kepada semua rakan dagang.

Nazir turut memberi amaran Asean mungkin berdepan kesan sampingan lain. “Dengan pasaran AS yang kurang terbuka, wujud risiko lambakan barangan ke rantau ini, yang seterusnya boleh menjejaskan hubungan dengan rakan dagang lain.”

Lambakan berlaku apabila barangan yang ditolak dari pasaran AS dialihkan ke Asia Tenggara pada harga lebih murah, sekali gus menekan pengeluar tempatan yang kemudian mungkin mendesak sekatan perdagangan dikenakan dengan pelbagai rakan bagi melindungi industri domestik.

“Jadi, saya rasa kita perlu mendapatkan perjanjian terbaik dengan AS, tetapi jangan lupa ada gambaran lebih besar perlu diuruskan,” katanya.

Rundingan dan pencapaian

Dalam Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi Asean pada September, wakil perdagangan AS, Jamieson Greer, berkata rundingan perdagangan antara pentadbiran Donald Trump dan anggota Asean berjalan lancar.

Namun, ini bukan satu-satunya pencapaian daripada kepengerusian Malaysia 2025 dalam Asean.

Tahun ini, blok itu melancarkan Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang pertama dan bersiap sedia untuk melancarkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (Defa) pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 bulan ini.

Nazir menggesa perniagaan memanfaatkan usaha yang dijalankan oleh ABAC sepanjang kepengerusian Malaysia tahun ini.

Beliau memberi contoh majlis membantu memuktamadkan perjanjian rentas sempadan, seperti kemudahan logistik di Malaysia dibangunkan melalui Sime Darby Property dan Kumpulan YCH, serta perjanjian bagi syarikat Malaysia menanam durian Musang King di Filipina.

“Ini adalah perjanjian yang syarikat mahu teruskan tetapi tidak dapat dimuktamadkan, jadi ABAC bantu memudahkannya,” katanya.

Nazir berkata, pelabur asing sudah mengatur mesyuarat ketika Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan Asean bulan ini, dengan harapan lebih banyak perjanjian perniagaan-ke-perniagaan dapat dimeterai.

Bina momentum melangkaui penggal setahun

Beliau juga menekankan inisiatif jangka panjang yang dimulakan bawah kepimpinan Malaysia, seperti usaha membangunkan rangka kerja Entiti Perniagaan Asean (ABE) dan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) serantau.

Mengakui masalah struktur Asean iaitu pengerusi bergilir menukar keutamaan setiap tahun, Nazir berkata ABAC sengaja memilih projek yang boleh diinstitusikan atau disiapkan dalam tempoh 12 bulan.

“Jika tidak, kami pilih projek yang boleh membawa momentum dalam apa jua bentuk,” katanya merujuk bagaimana projek ABE sudah diterapkan dalam pejabat kerajaan.

“Semoga ia akan diteruskan dalam pembangunan dasar kerajaan,” katanya.

“Dari segi pasaran swasta, kecerdasan buatan, filantropi, pasaran karbon – keempat-empatnya kini diurus oleh majlis atau jawatankuasa baharu.”

Ini termasuk Majlis Pasaran Swasta Asean dan Majlis CSR Asean yang bakal ditubuhkan.

Nazir berkata, platform seperti itu akan memberi peluang kepada perniagaan untuk terus membangunkan kerja daripada usaha ABAC, walaupun kepengerusian akan beralih kepada Filipina tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.