CBP diiktiraf Koperasi Premier Malaysia kali ke-4 berturut

CBP diiktiraf Koperasi Premier Malaysia kali ke-4 berturut

Ketua Pegawai Eksekutif CBP Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata pengiktirafan itu mengukuhkan jenamanya dalam industri kewangan.

Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh menyampaikan anugerah Koperasi Premier Malaysia kepada Co-opbank Pertama Malaysia Bhd (CBP) pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2024 pada 4 Sept lalu. (Gambar CBP)
PETALING JAYA:
Jenama Co-opbank Pertama Malaysia Bhd (CBP) terus kukuh dalam industri kewangan apabila diiktiraf salah satu Koperasi Premier Malaysia oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), buat kali keempat berturut-turut.

Ketua Pegawai Eksekutif Khairil Anuar Mohammad Anuar menyifatkan pengiktirafan itu sebagai penghargaan kepada CBP atas kerjasama dan usaha diberikan seluruh warganya serta turut disokong pengawal selia, anggota termasuk pelanggan.

“Pengiktirafan ini juga memberi peluang kepada CBP untuk mengukuhkan lagi jenama di dalam industri kewangan negara.

“Dengan kepelbagaian produk dan perkhidmatan perbankan berkualiti, kami yakin untuk terus memberi persaingan sihat yang secara tidak langsung dapat membantu masyarakat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Anugerah disampaikan Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2024 di Melaka pada 4 Sept lalu turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick.

Sebelum ini, CBP turut menjadi koperasi pertama di Malaysia menerima penarafan FI Rating A3/Stable/P2 daripada RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings).

Sementara itu, Khairil berkata pihaknya akan terus memperkenalkan produk dan perkhidmatan perbankan baharu untuk pelanggan runcit serta korporat.

Katanya, ketika ini CBP turut membuka langganan syer kepada orang ramai di semua cawangan CBP di seluruh negara hingga 31 Dis.

“Pembukaan semula langganan syer ini dilihat dapat menyokong pertumbuhan perniagaan CBP bagi tahun 2024 selaras pelaksanaan Pelan Strategik CBP 2022-2026.

“Pembukaan semula syer ini terbuka kepada anggota baharu dan sedia ada dengan jumlah maksimum hingga RM5 juta bagi individu dan hingga RM200 juta bagi koperasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.