Sokong TVET, Prasarana pupuk profesional mahir operasi kereta api, landasan

Sokong TVET, Prasarana pupuk profesional mahir operasi kereta api, landasan

Prasarana sasar latih 1,000 belia dalam kemahiran berkaitan rel, bas dan teknologi maklumat bagi menjadikan Malaysia sebagai hab rel serta bas serantau.

Prasarana-Hitachi Rail
(Dari kiri) Pengerusi Hitachi Rail GTS Malaysia Cyrille Bataille, Naib Presiden URS Hitachi Rail GTS Canada Ziad Rizk, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd Azharuddin Mat Sah dan Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Prasarana Harigaran Bharatham semasa majlis menandatangani MoU hari ini.
PETALING JAYA:
Prasarana Malaysia Bhd kekal komited menyokong dasar pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kerajaan dengan terus membimbing graduan, kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Azharuddin Mat Sah

Beliau berkata, sebagai sebuah agensi yang diperakui bawah Sistem Latihan Dual Nasional sejak September 2011, Prasarana memainkan peranan penting dalam memupuk golongan profesional mahir dalam operasi kereta api dan landasan.

Azharuddin berkata, dengan memperkenalkan dan melaksanakan program berstruktur, menggabungkan pembelajaran berasaskan teori, latihan berasaskan kerja, pensijilan dan pendedahan industri, bakat muda yang memulakan perjalanan mereka bersama Prasarana akan diperlengkapkan untuk mengembangkan kemahiran dan menyumbang secara bermakna kepada negara.

“Antara program ditawarkan termasuk operasi bas elektrik, penyelenggaraan ‘rolling stock’, dan keselamatan siber.

“Peserta akan menerima sijil kemahiran Malaysia diiktiraf di peringkat kebangsaan,” katanya selepas menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Prasarana dan Hitachi Rail GTS.

Azharuddin berkata, program ini dijadualkan bermula pada suku keempat 2025, dengan sasaran melatih 1,000 individu terdiri daripada lepasan sekolah, pelajar institusi vokasional, pemegang diploma dan lepasan universiti dalam tempoh lima tahun akan datang.

Selain menyokong agenda TVET kebangsaan, beliau berkata, inisiatif itu juga sebahagian aspirasi Prasarana untuk membentuk generasi profesional kereta api tempatan yang dilengkapi dengan kemahiran dan kepakaran bertaraf dunia.

“Ini langkah penting ke arah (matlamat) meletakkan Malaysia sebagai hab serantau untuk kepakaran dan inovasi rel.”

Dilancarkan pada Jun lepas, Dasar TVET Negara 2030 bertujuan menyelaraskan program TVET dengan permintaan industri, serta menggariskan 23 strategi dan 67 inisiatif penting untuk memperkasakan sektor itu dan meningkatkan daya saing global Malaysia.

Pertingkat pendedahan industri dengan Hitachi Rail GTS

Azharuddin berkata, sebagai sebahagian usaha untuk meningkatkan pendedahan industri buat bakatnya, Prasarana bekerjasama dengan Hitachi Rail GTS – anak syarikat Hitachi Rail – untuk menyokong komitmennya yang lebih luas terhadap Dasar TVET Negara 2030 dengan melancarkan program protege yang berlangsung selama sembilan bulan.

Pengerusi Hitachi Rail GTS Malaysia Cyrille Bataille berkata, kerjasama itu mencerminkan strategi global Hitachi Rail untuk memupuk bakat tempatan – pendekatan yang dilaksanakan syarikat itu bukan sahaja di Malaysia tetapi merentasi operasi antarabangsanya.

“Apabila dilihat program protege ini, kami majukan bakat muda untuk jadi pakar tempatan bagi menyokong kegiatan di lapangan,” katanya.

Tambahnya, sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, objektifnya adalah agar protege terlibat akhirnya terpilih menyertai tenaga kerja Hitachi atau Prasarana – bermula dengan program protege kemudian sebagai kakitangan tetap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.