Fitnah mangsa balai polis Ulu Tiram, tukang cuci dijel 7 hari

Fitnah mangsa balai polis Ulu Tiram, tukang cuci dijel 7 hari

Wan Abd Qayyum Wan Mohd Radzuan juga didenda RM800 selepas mengaku bersalah memfitnah dan menghasut hingga merosakkan nama baik mangsa.

Gavel
Wan Abd Qayyum Wan Mohd Radzuan didakwa di Mahkamah Majistret Tapah atas tuduhan memfitnah dan menghasut hingga merosakkan nama baik anggota polis terkorban dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram Mei lalu. (Gambar Pexelpic)
PETALING JAYA:
Seorang tukang cuci dihukum penjara tujuh hari serta denda RM800 oleh Mahkamah Majistret Tapah di Perak selepas mengaku bersalah atas tuduhan memfitnah dan menghasut hingga merosakkan nama baik anggota polis yang terkorban dalam insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram Mei lalu.

Wan Abd Qayyum Wan Mohd Radzuan, 25, membuat pengakuan bersalah itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Zainab Pawanteh, lapor Harian Metro.

Majistret juga mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 5 Sept lalu dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium sebaran fitnah itu, dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Mengikut pertuduhan, Wan Abd Qayyum didakwa melakukan fitnah terhadap anggota polis berkenaan, Ahmad Azza Fahmi Azhar melalui komen di media sosial Facebook ‘Wan Qayyum’.

Dalam komen itu, tertuduh menyatakan ‘Itu yang jadi kes Balai Ulu Tiram tu yang dua anggota mati sebab masa hidup pau duit tepi’ dengan maksud hendak merosakkan nama baik sekiranya si mati masih hidup dan menyakitkan perasaan Azhar Khaiden, 54, selaku bapa si mati.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di SK Felda Sungai Klah Sungkai, di Batang Padang kira-kira jam 2 petang, 28 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Azhar yang juga bapa kepada Azza Fahmi dipanggil ke kandang saksi bagi memberi pernyataan di hadapan majistret.

Dalam pernyataannya, Azhar berkata, perbuatan tertuduh itu, selain dianggap menyinggung perasaan keluarga mereka, ia juga satu penghinaan terhadap Azza Fahmi yang terbunuh dalam serangan itu.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Nabilah Norzam manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Amani Williams-Hunt.

Dalam kejadian serangan di balai polis itu pada 17 Mei lepas Ahmad Azza Fahmi, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban selepas diserang seorang lelaki, manakala Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak.

Suspek turut ditembak mati dalam insiden serangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.