Indonesia komited kukuh hubungan pertahanan dengan Malaysia

Indonesia komited kukuh hubungan pertahanan dengan Malaysia

Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto menghargai hubungan erat dua negara dan akan terus berusaha meningkatkan kerjasama, khasnya dalam bidang pertahanan.

agong n prabowo
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto yang juga sahabat lama Seri Paduka Baginda di Istana Negara hari ini. (Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)
JAKARTA:
Indonesia mengesahkan komitmennya untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan dengan Malaysia susulan pertemuan penting antara Menteri Pertahanannya, Prabowo Subianto dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Kuala Lumpur hari ini.

Kementerian Pertahanan Indonesia dalam kenyataan berkata, tumpuan Prabowo adalah hubungan kukuh dan berkekalan antara dua negara dan keyakinannya untuk mengukuhkan lagi kerjasama ini.

“Saya menghargai hubungan erat antara kedua-dua negara dan akan terus berusaha meningkatkan kerjasama kita, terutamanya dalam bidang pertahanan.

“Saya menghargai harapan positif Seri Paduka Baginda dan berharap perkongsian kami akan terus berkembang untuk manfaat bersama,” kata Prabowo.

Perbincangan selama sejam itu juga meliputi Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Malaysia-Indonesia, dengan Indonesia menjangkakan mesyuarat GBC ke-44 akan mengukuhkan komitmen dan meningkatkan keselamatan, kestabilan serta kemakmuran di rantau ini.

Prabowo yang mempunyai persahabatan lama terjalin dengan Seri Paduka Baginda sejak lebih 40 tahun lalu ketika latihan ketenteraan bersama di Fort Bragg, Amerika Syarikat, memuji Malaysia atas layanan mesra diberikan dan menekankan kepentingan kerjasama strategik berterusan.

Dijadual menggantikan Presiden Indonesia, Joko Widodo pada 20 Okt ini, lawatan Prabowo ke Malaysia sebahagian daripada siri lawatan rasminya ke Brunei, Laos dan Kemboja.

Beliau turut mengadakan lawatan tidak rasmi ke Thailand untuk bertemu bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dan anak perempuannya, Paetongtarn yang juga perdana menteri baharu negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.