Bayi 8 bulan meninggal dunia di taska akibat lemas

Bayi 8 bulan meninggal dunia di taska akibat lemas

Hasil bedah siasat turut mendapati tiada kesan kecederaan lain di tubuh bayi lelaki tersebut.

Ashari Abu Samah
Ketua Polis Alor Gajah Ashari Abu Samah berkata bedah siasat dijalankan semalam mendapati punca kematian mangsa akibat lemas. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bedah siasat mendapati punca kematian seorang bayi berusia lapan bulan di sebuah taska di Alor Gajah semalam akibat lemas.

Ketua Polis Alor Gajah, Ashari Abu Samah, berkata pihaknya menerima laporan bedah siasat Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri dijalankan di Unit Forensik Hospital Alor Gajah malam semalam.

“Proses bedah siasat yang berjalan selama kira-kira tiga jam bermula 7.30 malam mendapati punca kematian akibat lemas.

“Pemeriksaan juga mendapati tiada kesan kecederaan lain di tubuh bayi lelaki tersebut,” katanya, lapor Sinar Harian.

Terdahulu dilaporkan, bayi lelaki itu dikejarkan ke hospital oleh ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan mulut berdarah dan mukanya biru selepas dimaklumkan pihak taska.

Bapanya, Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, mendakwa bayinya disumbat botol susu, ditutup dengan kain dan ditekup dengan bantal oleh pengasuh taska di Taman Kelemak Utama itu.

Tindakan itu diketahui selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu bersama polis.

Pengasuh berusia 34 tahun terbabit kemudian ditahan semalam dan direman seminggu bagi membantu siasatan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.