
Perintah reman terhadap kedua-dua mereka yang berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman di Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas membenarkan permohonan polis.
Ia bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Kedua-dua suspek ditahan 4 petang semalam di perkarangan IPD Batu Pahat bagi membantu polis melengkapkan siasatan.
Dalam pada itu, peguam suspek, Muhamad Izwan Ishak, berkata ,dalam prosiding itu, pegawai penyiasat memberitahu reman diperlukan untuk polis merekodkan percakapan mereka berdua.
Katanya, ia penting memandangkan ada maklumat daripada mangsa mendakwa terdapat pembabitan kedua-dua suspek sekali gus memerlukan siasatan lanjut.
“Selain itu terdapat percanggahan maklumat antara kedua-dua suspek yang mana memerlukan siasatan lebih terperinci daripada pihak polis.
“Arahan tahan reman juga dibuat untuk menunggu laporan daripada Jabatan Kesihatan Masyarakat (JKM) bagi mengambil kedua-dua anak suspek untuk diletakkan bawah jagaan sementara.
“Selanjutnya adalah mengesan pembabitan suspek ataupun kewujudan unsur lain jenayah lain dalam kes ini,” katanya, menurut Harian Metro.
Media sebelum ini melaporkan polis menjalankan siasatan kes seorang kanak-kanak lelaki yang cedera di leher dipercayai dikelar menggunakan senjata tajam di Parit Raja, Isnin lalu.
Polis menerima laporan berhubung kejadian daripada ibu mangsa berusia 40 tahun pada 9 pagi.
Berdasarkan laporan, wanita itu menyedari anaknya mengalami kecederaan di leher sebaik sahaja tersedar daripada tidur pada 5.30 pagi di rumah mereka.