
Menteri komunikasi berkata, TikTok memberikan kerjasama yang baik kepada polis.
“Saya telah berhubung dengan TikTok dan mereka beri kerjasama yang baik kepada polis,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Ancaman Dalam Talian 2024.
“Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga telah berhubung dengan Tiktok untuk melakukan ‘data preservation’ agar segala maklumat yang diperlukan polis dapat diperoleh pada kadar segera.”
Dalam pada itu, Fahmi mempersoalkan mengapa TikTok membenarkan akaun yang mendorong ke arah jenayah melibatkan kanak-kanak dibiarkan aktif terlalu lama di platformnya.
“Apabila kita lihat kandungan yang dimuat naik dalam akaun tersebut, yang agak merisaukan bagaimana TikTok membenarkan akaun seperti ini beroperasi begitu lama.
“Saya risau teliti komen-komen dalam kandungan tersebut yang juga membayangkan masalah membolehkan jenayah lain berlaku,” katanya.
Pemandu bas sekolah itu yang mempunyai lebih 640,000 pengikut di TikTok, sering memuat naik video jelas memaparkan wajah murid yang menjadi penumpangnya.
Antara kandungan dimuat naik termasuk video menunjukkan seorang murid sekolah rendah yang dikatakan ‘diminatinya’, serta video dia cuba mengejutkan seorang murid yang tertidur dalam bas dengan mengusap muka dan bibir kanak-kanak tersebut.
Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di Simpang Renggam pada 2.57 pagi tadi susulan laporan dibuat semalam.
Sehubungan itu, Fahmi mengingatkan semua pihak, termasuk tenaga pengajar tidak memuat naik kandungan melibatkan kanak-kanak.
“Jangan papar, pamerkan, siarkan wajah kanak-kanak. Itu suatu pelanggaran undang-undang, termasuk Akta Kanak-kanak.
“Saya akan berhubung dengan menteri pendidikan untuk pastikan isu ini difahami oleh guru juga,” katanya.
Selain itu, katanya, SKMM akan bekerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman untuk mengenal pasti pihak lain yang disyaki melanggar undang-undang.
“Panduannya adalah guna segala undang-undang yang ada dalam negara kita dan kod tatalaku yang memastikan mana-mana platform yang ingin beroperasi di Malaysia faham dengan kerangka kawal selia dan undang-undang sedia ada,” katanya.