Henti ‘fitnah’ penjawat awam, gesa Cuepacs

Henti ‘fitnah’ penjawat awam, gesa Cuepacs

Cuepacs menyelar tindakan tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah seperti kaunter kerajaan kosong pada waktu bekerja.

kaunter kerajaan
Harakahdaily sebelum ini mendakwa, sikap kakitangan sektor awam ‘yang sambil lewa dan terlebih santai’ merupakan sesuatu tanggapan yang popular. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengguna media sosial digesa tidak ‘memfitnah’ penjawat awam susulan laporan mendakwa kaunter kosong kerana tiada pegawai bertugas pada waktu bekerja.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata, hantaran seperti itu akan memberi gambaran buruk terhadap institusi itu dan kerajaan.

“Cuepacs sekeras-kerasnya menyelar tindakan tidak bertanggungjawab terhadap budaya menyebarkan fitnah yang bertujuan memberikan persepsi negatif kepada perkhidmatan awam dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

“Budaya membuat sesuatu pernyataan umum di media sosial semata-mata untuk mendapat perhatian tidak wajar dijadikan amalan yang perlu ditoleransi, apatah lagi jika perkara itu tidak dapat dipastikan kebenarannya terlebih dahulu.”

Pada Rabu lepas, Harakahdaily melaporkan hantaran media sosial yang mendakwa tiada pegawai bertugas di kaunter kerajaan walaupun sudah masuk 9 pagi.

Menurut lidah rasmi PAS itu, sikap kakitangan sektor awam ‘yang sambil lewa dan terlebih santai’ merupakan sesuatu tanggapan yang popular.

Mengulas lanjut, Adnan turut mengingatkan semua pihak agar tidak mengaitkan setiap perkara dalam perkhidmatan awam dengan sentimen politik masing-masing.

Kesan terhadap fitnah tidak terhenti dengan permintaan maaf kerana ia menimbulkan persepsi awam yang tidak boleh dihapuskan serta merta, tambahnya.

Beliau menyeru semua pihak memberikan penghormatan yang tertinggi kepada institusi perkhidmatan awam yang selama ini menjadi tulang belakang kepada pembangunan negara.

“Kami tidak meminta didendang tetapi cukuplah dengan penghormatan yang sewajarnya dengan memberikan sokongan secara berterusan untuk kita bersama-sama bergerak ke hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bertindak tegas terhadap pihak yang sengaja memuat naik kandungan berunsur fitnah terhadap perkhidmatan awam di media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.