
Beliau berkata, laporan itu dibentangkan Pengerusi RCI, Md Raus Sharif dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
“Jemaah Menteri amat prihatin terhadap isu kedaulatan negara dan membuat keputusan supaya laporan suruhanjaya dibentangkan di Parlimen dan syor-syor yang dikemukakan dibahaskan di Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 12 Ogos lalu, RCI itu menyerahkan laporan akhir sulitnya kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara.
FMT sebelum ini memetik sumber sebagai berkata, RCI itu menyerahkan kepada kerajaan untuk memutuskan sama ada laporannya didedahkan kepada umum.
Pada 3 Feb 2017, Putrajaya memfailkan permohonan semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sembilan tahun sebelumnya bahawa Singapura mempunyai hak ke atas Batu Puteh.
ICJ turut memutuskan Batuan Tengah milik Malaysia, manakala hak milik Tubir Selatan, kira-kira 4km dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara menguasainya.
Tetapi, sebaik mengambil alih Putrajaya pada Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan itu, dua minggu sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.
Pada 14 Feb lalu, Sultan Ibrahim memperkenan penubuhan RCI yang diketuai Md Raus yang juga bekas ketua hakim negara bagi menyiasat mengapa Malaysia menggugurkan permohonan semakannya.
Pada 12 Jun lalu, Mahathir memberi keterangan dalam prosiding RCI yang dijalankan secara tertutup.