Analisis kos-manfaat perjanjian AS, bentang kajian di Parlimen

Analisis kos-manfaat perjanjian AS, bentang kajian di Parlimen

Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri harus menilai semula kesan perjanjian itu terhadap ekonomi, pekerjaan, PKS dan kos penjagaan kesihatan.

Charles Santiago
Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata penelitian Parlimen telah menjadi kebiasaan bagi mana-mana perjanjian perdagangan yang ditandatangani Malaysia, termasuk TPPA pada 2016 dan CPTPP pada 2022.
PETALING JAYA:
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri perlu menjalankan analisis kos-manfaat menyeluruh terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) serta membentangkan dapatannya di Parlimen, kata bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Santiago berkata satu kajian berkepentingan nasional mesti dilaksanakan dan merangkumi penilaian kesan ekonomi dan sosial secara bab demi bab, termasuk pertambahan dan kehilangan pekerjaan, kesan terhadap harga ubat-ubatan dan kos penjagaan kesihatan, implikasi kepada perniagaan Bumiputera dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan serta industri halal.

Beliau berkata kajian itu juga perlu menilai kehilangan hasil tarif, kesan pengagihan merentasi sektor dan kumpulan masyarakat serta sebarang perubahan undang-undang dan peraturan domestik yang diperlukan, termasuk penjajaran dengan undang-undang dan piawaian AS.

“Sehingga keputusan kajian ini diterbitkan dan dibahaskan di Parlimen, meneruskan proses ratifikasi atau mempertahankan perjanjian ini secara terbuka adalah tidak bertanggungjawab dari segi prosedur dan tidak dapat dipertahankan dari sudut demokrasi.

“Rakyat Malaysia berhak mengetahui siapa yang mendapat manfaat, siapa yang menanggung kos dan sama ada perjanjian ini benar-benar berkhidmat untuk ekonomi negara, termasuk perniagaan, pekerja dan pengguna atau lebih mengutamakan kepentingan luar,” katanya dalam satu kenyataan.

Santiago berkata penelitian Parlimen telah menjadi amalan bagi setiap perjanjian perdagangan yang ditandatangani Malaysia, termasuk Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada 2016 dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pada 2022.

Beliau memberi amaran agar Malaysia tidak ‘mengikat dirinya’ dengan komitmen yang mengehadkan ruang dasar, melemahkan akauntabiliti demokrasi atau menjejaskan masa depan ekonomi negara.

“Meneruskan perjanjian tanpa pendedahan penuh, penilaian berasaskan bukti dan kebertanggungjawaban kepada Parlimen merupakan kegagalan tadbir urus dan satu pencabulan kepercayaan awam,” katanya.

Kenyataan itu selepas Menteri Pelaburan, Perdagangan, Industri, Johari Ghani berkata pada Rabu bahawa kementeriannya akan meneliti ART dan meneruskan rundingan semula sekiranya mana-mana terma didapati bercanggah dengan kepentingan negara.

Pengkritik perjanjian perdagangan yang ditandatangani Malaysia dengan AS pada 26 Okt mendakwa ia tidak berperlembagaan dan akan menjejaskan kedaulatan ekonomi negara kerana memaksa Putrajaya mematuhi peraturan dan undang-undang Washington berkaitan perdagangan dan pelaburan.

Menjawab kritikan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) telah dirujuk mengenai perjanjian tersebut sebelum ia ditandatangani dan menegaskan Malaysia boleh menamatkan perjanjian itu jika perlu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.