
Agensi itu menasihatkan pemandu dan pelawat mengambil kira masa menunggu lebih lama dan bekerjasama dengan pegawai bertugas, mematuhi peraturan lalu lintas dan menjaga disiplin ketika berada di lorong.
“ICA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelawat yang tidak mematuhi arahan pegawai dan melakukan kesalahan di pusat pemeriksaan,” kata agensi itu dalam kenyataan.
Sementara itu, rekod lebih 540,000 pelawat dilaporkan melintasi pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas pada 8 Ogos, semasa cuti hujung minggu sempena Hari Kebangsaan dari 8 hingga 13 Ogos, dengan pelawat yang menaiki kereta terpaksa menunggu sehingga tiga jam sebelum melepasi pemeriksaan imigresen.
ICA menggalakkan mereka yang menaiki kereta dan motosikal untuk menggunakan kod QR yang dijana melalui aplikasi mudah alih MyICA sebagai pengganti pasport bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pelepasan imigresen.
Sebagai alternatif, mereka boleh mempertimbangkan menggunakan perkhidmatan bas rentas sempadan.