Diskaun 30% tiket ETS JB Sentral selama sebulan

Diskaun 30% tiket ETS JB Sentral selama sebulan

5,000 kod promosi ditawarkan sempena pembukaan perkhidmatan ETS itu, tertakluk kepada terma dan syarat.

Tawaran diskaun ETS libatkan perjalanan dari 12 Dis hingga 11 Jan 2026 bagi sektor KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral.
KUALA LUMPUR:
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan diskaun istimewa 30% sempena pembukaan perkhidmatan tren elektrik (ETS) ke JB Sentral bermula 12 Dis ini.

KTMB memaklumkan, tawaran diskaun itu melibatkan perjalanan dari 12 Dis hingga 11 Jan 2026 bagi sektor KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral.

Ketua Pegawai Teknikal KTMB Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, penumpang boleh menikmati tawaran itu menggunakan kod promosi JBBEST semasa pembelian tiket.

Sebanyak 5,000 kod promosi ditawarkan, tertakluk kepada terma dan syarat.

Beliau berkata, kemudahan pengangkutan awam itu bukan sahaja memudahkan mobiliti harian, malah menyokong pertumbuhan industri pelancongan dan ekonomi Johor dengan menarik lebih ramai pelancong, termasuk dari Singapura.

“Pelaksanaannya tepat pada masanya menjelang musim cuti sekolah dan penghujung tahun, ketika rakyat Malaysia mengambil peluang bercuti ke Johor manakala rakyat Johor pula menikmati perjalanan mudah ke destinasi luar negeri melalui sambungan tren ETS,” katanya.

“Kemudahan ini sekali gus meningkatkan pergerakan domestik dan merancakkan aktiviti pelancongan serta perniagaan di kedua-dua arah,” katanya.

Tiket boleh dibeli melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB atau mesin kios KTMB bagi kemudahan pelanggan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi KTMB atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.

KTMB turut memaklumkan, pengoperasian berkenaan menandakan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru, melibatkan pembinaan jajaran sepanjang 192km serta 11 stesen, telah disiapkan mengikut jadual.

Bagaimanapun, perkhidmatan ETS akan diaktifkan secara berfasa untuk laluan sektor utara selaras dengan proses pentauliahan set ETS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.