Gangguan air di Muallim dijangka pulih petang ini, kata exco Perak

Gangguan air di Muallim dijangka pulih petang ini, kata exco Perak

Exco Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata kerja pembaikan paip pecah hampir siap 60%.

Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata jika kerja pembaikan paip pecah dapat disiapkan hari ini, bekalan air dapat dipulihkan sepenuhnya petang ini. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Gangguan bekalan air menjejaskan ribuan pengguna di daerah Muallim akibat paip pecah berpunca daripada kejadian kepala air di Ulu Slim dijangka pulih sepenuhnya petang ini.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata tangki air disediakan di kawasan masih terjejas sementara menunggu kerja pembaikan siap sepenuhnya.

“Walaupun jambatan runtuh, paip air LAP (Lembaga Air Perak) pecah, ia tidak memberikan kesan besar kerana kita ada tangki air mencukupi. Dalam masa 24 jam, kita dapat kembalikan bekalan air.

“Paip pecah semalam sekitar jam 7 hingga 8 malam dapat kita baiki hampir 60%. Kalau kerja-kerja dapat diselesaikan hari ini, bekalan air dapat dipulihkan sepenuhnya petang ini, insya Allah,” katanya menurut Sinar Harian selepas Program Jelajah Sejahtera Desaku Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat di Ipoh.

Jambatan Bailey

Nizar berkata, kerja pembinaan tapak jambatan Bailey bagi menghubungkan Slim Village dengan Bandar Behrang dimulakan semalam.

Menurutnya, pembinaan jambatan sementara itu mengambil masa seminggu disiapkan dan bergantung kepada cuaca, sama ada kejadian kepala air akan berlaku semula atau sebaliknya dan kerja pembinaan akan dihentikan jika timbul risiko keselamatan.

“Tapak itu dibuat di kedua-dua belah kiri dan kanan bagi memastikan ia stabil untuk digunakan dalam masa seminggu. Ini usaha kerajaan untuk memastikan Slim Village dan Behrang terhubung bagi memudahkan urusan penduduk ke sekolah dan bekerja.

“Cuma kita tidak membenarkan kenderaan berat lebih 30 tan guna jambatan Bailey ini. Kita beri keutamaan kepada orang nak pergi dan balik kerja serta anak-anak yang hendak ke sekolah, kita hadkan berat kenderaan.”

Semalam, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad mengumumkan jambatan Bailey akan dibina bagi memudahkan penduduk dan pengguna Jalan Slim River-Behrang Ulu yang runtuh akibat kejadian kepala air serta empangan pecah di Slim Village kelmarin.

Kejadian kepala air Jumaat lalu menyebabkan tiga jambatan runtuh dan terputus laluan, iaitu jambatan struktur konkrit di jalan negeri, manakala dua lagi jambatan kampung di Kampung Pasir dan Kampung Sungai Muda yang menghubungkan Kampung Piong.

Jambatan konkrit di Jambatan Lama Sungai Slim selebar 7.5m dan panjang 77m runtuh kerana tidak dapat menahan tekanan sisa kayu hanyut bersama aliran air deras.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.