
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A Sivanesan berkata, sebaliknya hanya terdapat 21 ladang babi yang diluluskan di kedua-dua daerah itu.
“Di (DUN) Ayer Kuning, hanya terdapat sembilan ladang dan tiga daripadanya telah diluluskan untuk ditukar kepada konsep Ladang Babi Moden (MPF).
“Baki enam lagi dalam proses kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Chittirai di Dewan Serbaguna Air Kuning, yang turut dihadiri Menteri Besar Saarani Mohamad dan Ahli Parlimen Tapah M Saravanan.
Sebelum ini, Naib Presiden PAS Idris Ahmad mendakwa, terdapat 30 ladang babi yang diluluskan serta berlesen di dua daerah itu.
Tambahnya, jumlah itu mungkin lebih tinggi jika dicampurkan dengan ladang haram.
Sivanesan berkata, pemodenan ladang ternakan babi antara penstrukturan semula yang dilaksanakan kerajaan negeri dan perkara itu akan dijelaskan lebih terperinci dalam sidang DUN minggu depan.
“Kita telah mengambil tindakan penutupan ladang babi kerana tidak menepati syarat penstrukturan semula ladang ternakan dan inilah yang kita lakukan sepanjang 26 bulan kerajaan perpaduan di Perak,” katanya.