Warga asing ditahan, polis rampas dadah lebih RM800,000

Warga asing ditahan, polis rampas dadah lebih RM800,000

Warga asing itu disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Ampang, Selangor.

handcuff
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Khaw Kok Chin, sindiket dadah itu menggunakan modus operandi menyewa rumah kedai sebagai stor menyimpan bahan terlarang berkenaan.
KUALA LUMPUR:
Polis menahan seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah, di sekitar Ampang dua hari lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Khaw Kok Chin, berkata lelaki itu ditahan dalam serbuan pada 12.30 tengah hari, hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Australia Federal Polis (AFP).

Beliau berkata polis turut merampas 25.65 kilogram dadah jenis methamphetamine, 717 gram heroin dan dua botol cecair kimia 9 liter dalam serbuan itu.

“Modus operandi sindiket ini adalah menyewa rumah kedai untuk dijadikan stor menyimpan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran luar negara menggunakan perkhidmatan kurier. Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM883,093 dan boleh digunakan oleh kira-kira 180,000 orang penagih dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata sindiket terbabit dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini.

Khaw berkata saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dia kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.