
Menurut laporan media, suspek serangan berkenaan adalah antara yang maut, manakala empat individu lagi cedera.
Kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek yang memakai topeng gas telah membaling bom asap di Stesen Utama Taipei, satu daripada stesen metro di bandar berkenaan.
Letupan bom asap itu menyebabkan seorang orang awam mengalami sesak nafas. Suspek kemudiannya menyerang individu itu yang kemudiannya disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah, memetik kenyataan hospital dalam laporan media.
Suspek seterusnya melarikan diri ke satu lagi kawasan perniagaan yang sibuk sekitar Stesen Metro Zhongshan dan menyerang beberapa lagi orang awam, menyebabkan enam cedera dengan dua daripada mereka kemudiannya disahkan mati di hospital.
Suspek yang dikenal pasti sebagai lelaki berusia 27 tahun itu dipercayai terjatuh dari sebuah gedung serbaneka dan meninggal dunia semasa dikepung oleh pihak polis.
Laporan media tempatan menyebut motif serangan berkenaan masih dalam siasatan.