
Semalam, Pengerusi Ahmad Shabery Cheek berkata Felda sedang membincangkan penyusunan tanah di Perasu untuk diagihkan kepada generasi kedua, yang akan memutihkan penempatan tidak sah sekali gus membolehkan bekalan elektrik disambungkan.
Mesyuarat berhubung perkara itu diadakan dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan, semalam.
“Saya harap dengan respons itu isu ini dapat diselesai dengan cara baik dengan situasi menang-menang,” kata Marlida Mat Dan kepada FMT, yang melaporkan kisahnya sebelum ini.
Marlida, seorang bekas guru, merayu supaya dibenarkan menyambung bekalan elektrik ke rumahnya di Felda Perasu, yang didiami sejak lebih dua tahun lalu.
Beliau mendakwa pihak pengurusan Felda tidak mengeluarkan surat kebenaran bagi membolehkan bekalan elektrik disambung ke kediamannya memandangkan status tanah tapak rumahnya masih di bawah syarikat berkenaan.
“Luahan saya sebelum ini bukan nak memburukkan mana-mana pihak sebaliknya mahu isu ini diselesai untuk kebaikan semua terutamanya generasi kedua,” katanya.
“Apa saya bangkitkan ini bukan untuk kepentingan peribadi sebaliknya untuk generasi anak Felda secara keseluruhan.”
Marlida terpaksa mengeluarkan puluhan ribu ringgit untuk membeli generator bagi mendapatkan bekalan elektrik, selain bahan bakar diesel yang kini meningkat kepada RM3.35 seliter sejak 10 Jun lalu di Semenanjung.
Shabery semalam berkata beliau maklum tentang situasi bekalan elektrik membabitkan kediaman yang dibina di atas tanah yang tak sah.
Sementara itu, Penghulu Mukim Felda Perasu, Mohd Arif Ariffin, 46, memaklumkan penduduk mahu isu ini diselesaikan secara serius, dan bukan kerana pilihan raya.
“Isu ini jangan dilihat dari sudut politik sebaliknya demi kepentingan dan keselesaan warga Felda,” katanya.