Tubuh unit semak aduan sebelum TNB ambil tindakan, Suruhanjaya Tenaga diberitahu

Tubuh unit semak aduan sebelum TNB ambil tindakan, Suruhanjaya Tenaga diberitahu

Wakil rakyat kerajaan berkata unit itu akan memastikan hanya kes benar-benar kukuh dibawa ke mahkamah dan pengguna tidak lagi menjadi mangsa.

meter elektrik
Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah berkata usaha membanteras kecurian elektrik mesti dilakukan dengan berprinsip. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin kerajaan mencadangkan Suruhanjaya Tenaga (ST) menubuhkan unit semakan pengguna bebas yang berfungsi menyemak aduan berkaitan kecurian elektrik dan modifikasi meter sebelum Tenaga Nasional Bhd (TNB) dibenarkan memulakan tindakan undang-undang.

Jimmy Puah (PH-Tebrau) berkata, unit itu akan memastikan hanya kes yang benar-benar kukuh dibawa ke mahkamah dan pengguna tidak lagi menjadi mangsa kepada kelemahan sistem dalaman.

Beliau berkata demikian merujuk laporan FMT pada 28 Okt lalu berhubung keputusan Mahkamah Sesyen Klang menolak saman kedua TNB terhadap seorang pekerja kilang atas dakwaan mengubah suai meter elektrik.

Mahkamah Sesyen Klang turut memerintahkan TNB membayar jumlah keseluruhan RM30,000 bagi penderitaan dan kesukaran ditanggung kesan prosiding undang-undang berkenaan.

TNB sebelum ini mengemukakan saman ke atas Eazrie Hafizie Aris pada 2021, menuntut RM197,131 atas dakwaan mengubah suai meter elektrik.

Eazrie menafikan liabiliti tersebut dan memfailkan tuntutan balas terhadap TNB kerana didakwa cuai menuduhnya.

Mengulas lanjut, Jimmy menyokong usaha membanteras kecurian elektrik namun mesti dilakukan dengan berprinsip, berasaskan bukti dan membezakan antara pelaku sebenar, mangsa penyalahgunaan identiti serta pemilik premis yang tidak bersalah.

“Kes ini bukan luar biasa. Banyak pemilik premis kosong telah menerima saman atas dasar terdapat aktiviti curi elektrik di premis mereka, sedangkan mereka tidak tahu-menahu.

“Persoalannya, bagaimana pihak luar boleh membuka akaun TNB hanya dengan kad pengenalan dan siapa bertanggungjawab menjaga keselamatan meter dan kotak suis utama premis.

“Jawapannya tetap kembali kepada TNB,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan peringkat jawatankuasa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).

Sementara itu, Cha Kee Chin (PH-Rasah) meminta ST dan Petra mengambil maklum tindakan daripada TNB berhubung kes ‘usik meter’ tanpa dipantau atau dilihat pemilik rumah.

Beliau berkata, sebagai wakil rakyat bertanggungjawab dan pengamal undang-undang, kes seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan tidak adil untuk pemilik rumah tersebut.

“Isunya apabila wakil TNB atau mungkin wakil Suruhanjaya Tenaga hadir dia cabut meter dan dia tukar meter tanpa dipantau atau dilihat pelanggan tersebut.

“(Kemudian) apabila keluarkan meter itu, TNB bawa balik dan kata ada usikan meter lepas itu buat tuntutan kepada pengguna. Benda ini macam sehala. Patut pemilik rumah kena ada peluang untuk berunding,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.