Lebuhraya Pan Borneo siap jika BN tadbir Sabah, kata Zahid

Lebuhraya Pan Borneo siap jika BN tadbir Sabah, kata Zahid

Presiden Umno berkata BN juga akan selesai isu air dan elektrik dalam tempoh lima tahun jika diberi mandat tadbir negeri itu.

Pengerusi BN Zahid Hamidi juga beri amaran bahawa calon yang berpaling tadah selepas menang atas tiket BN bakal berdepan denda yang besar. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Barisan Nasional (BN) akan menyiapkan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah jika diberikan mandat dalam PRN akan datang, kata pengerusinya Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu turut berjanji bahawa BN akan menyelesaikan masalah air dan elektrik yang sudah lama membelenggu Sabah dalam tempoh lima tahun sekiranya diberi peluang mentadbir negeri itu.

“Dalam tempoh lima tahun, isu gangguan elektrik dan air akan selesai, insya-Allah.

“Di Sarawak, Pan Borneo hampir siap. Di Sabah, belum. Jika BN diberikan mandat, kita akan menyiapkan Pan Borneo di sini dalam lima tahun,” katanya pada Perhimpunan Pekebun Kecil Risda di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Lebuhraya Pan Borneo merentasi lebih 2,000km secara keseluruhan, termasuk kira-kira 1,060km di Sarawak, kira-kira 706km di Sabah, dan selebihnya di Brunei.

Di Sarawak, semua pakej projek itu dilaporkan 99% siap setakat Julai, dengan keseluruhan dijangka siap pada 2026.

Kemajuan di Sabah bagaimanapun lebih perlahan, dengan pakej Fasa 1A kebanyakannya selesai manakala Fasa 1B hanya 3% berjalan.

Zahid berkata jalan luar bandar dan kampung juga akan dinaik taraf di bawah kerajaan negeri diterajui BN, selain lebih banyak peruntukan persekutuan akan disalurkan kepada Sabah.

Tanpa menamakan mana-mana pentadbiran, beliau berkata kadar kemiskinan di Sabah meningkat selepas BN tewas kuasa, berbeza dengan penurunan yang dicapai ketika BN mentadbir sebelum ini.

“Kadar kemiskinan di Sabah dulu 34.3%. Ketika BN mentadbir sehingga 2018, ia turun kepada 14.7%. Itu pencapaian BN.

“Tapi tahun ini kadar itu naik kepada 17%. Saya tak mahu sebut kerajaan mana yang ini berlaku,” katanya.

Zahid turut memberi amaran kepada calon BN menjelang PRN Sabah, dengan menegaskan mana-mana wakil rakyat yang lompat parti selepas menang atas tiket BN akan dikenakan denda yang besar.

“Mana-mana Adun BN yang menang dan kemudian mengkhianati mandat, diwajibkan membayar RM50 juta. Kita tidak mahu ‘katak’. Umno dan BN mahukan wakil yang setia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.