
Beliau berkata ini memandangkan sektor terbabit berdaya tahan dan menjadi nadi kepada kepesatan pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menjadi keperluan masa depan.
“AI cip mikro, tenaga, pusat data dan sebagainya jadi ia (sektor semikonduktor) tidak akan banyak terjejas malah akan menjadi satu keperluan pada masa depan.
“Ini industri yang penting seperti air dan elektrik,” katanya selepas merasmikan Majlis Konsultasi Kebangsaan anjuran Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCTAD) dan Khazanah Research Institute.

Kerajaan melancarkan NSS, Mei lalu untuk memposisikan Malaysia sebagai juara kuasa ketiga dan membolehkan kolaborasi bernilai tinggi dengan kuasa-kuasa besar dunia.
Malaysia kini menjadi pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia dengan lebih 50 tahun pengalaman selain penglibatan banyak syarikat menjadikan negara sebagai pusat operasinya.
Tengku Zafrul berkata kesan itu juga mungkin kurang dilihat susulan perkembangan semasa menyaksikan prestasi pasaran saham Asia Pasifik semakin pulih.
“Pasaran saham Asia Pasifik dah naik balik, kerisauannya mungkin diperbesarkan, namun kita perlu bersedia untuk jangkaan yang terburuk.
“Itulah sebabnya kita perlu mempelbagaikan ekonomi, bukan sahaja produk dan kandungan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tetapi juga sasaran yang kita fokus dalam pelaburan dan perdagangan,” katanya.
Tambahnya, Malaysia juga mempunyai asas ekonomi kukuh dengan KDNK disasarkan 5.7% pada suku tahun kedua dan kadar inflasi terkawal.
“Kita yakin mampu mencapai tahap pertumbuhan yang disasarkan,” katanya.