
Menterinya Tengku Zafrul Aziz berkata kementerian menghargai maklum balas, tetapi ia perlu ‘berasas dan munasabah’.
“Banyak kenyataan telah dikeluarkan dan ada kekeliruan mungkin timbul akibat pembacaan atau pemahaman yang salah.
“Apa yang penting ialah kita terus berinteraksi dengan orang ramai,” katanya kepada media Malaysia di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec semalam.
Tengku Zafrul turut menyatakan perjanjian perdagangan itu telah ‘dipolitikkan, dengan sebahagian pihak tidak menilai secara objektif.
“Kami akan terus memberikan penjelasan. Itu adalah tanggungjawab kami, dan saya berharap orang ramai dapat menilai sendiri kerana perkara ini melibatkan keutamaan ramai rakyat Malaysia,” tambahnya.
Tengku Zafrul dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah membahaskan isu itu di Parlimen minggu ini dengan menegaskan kedaulatan Malaysia dan dasar domestik, termasuk hak Bumiputera, kekal terpelihara sepenuhnya.
Namun, Ahli Parlimen pembangkang terus mempersoalkan beberapa klausa dalam perjanjian itu dan menuduh Putrajaya ‘menjual negara’ dalam rundingan dengan Washington.
Anwar berkata semalam bahawa kritikan berterusan itu didorong motif politik dan menegaskan bahawa perjanjian ini bertujuan menarik pelaburan dan perdagangan yang signifikan.
Tengku Zafrul juga menekankan rundingan perjanjian perdagangan dikendalikan oleh pasukan yang sangat berpengalaman, merujuk pencapaian Malaysia memuktamadkan 18 perjanjian perdagangan bebas setakat ini, termasuk dengan Korea Selatan, Kesatuan Eropah dan Emiriah Arab Bersatu.
“Kami telah menilai semua risiko dan aspek dan memastikan ini adalah perjanjian terbaik untuk Malaysia.
“Dalam sebarang rundingan, ada yang perlu dikorbankan dan ada yang diperoleh,” katanya.