Tengku Zafrul jawab dakwaan Muhyiddin berkait perjanjian dagang AS-Malaysia

Tengku Zafrul jawab dakwaan Muhyiddin berkait perjanjian dagang AS-Malaysia

Menteri Tengku Zafrul Aziz sekali lagi mengulangi ketegasan itu dengan menyatakan kerajaan berunding untuk kekal akses pasaran ke AS, lindungi jutaan kerja rakyat.

Tengku Zafrul Aziz
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, berkata dasar Bumiputera kekal dengan pasaran eksport RM198.65 bilion ke AS perlu diakses, di mana jika gagal ancam punca pendapatan jutaan rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tengku Zafrul Aziz mempertahankan Perjanjian Tarif Timbal Balik (ART) antara Washington dan Putrajaya, dengan mengulangi ketegasan yang ia tidak menjejaskan kedaulatan negara seperti didakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.

Menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu, berkata Malaysia perlu bertindak pantas memastikan akses eksport ke pasaran AS kekal terjamin memandangkannya antara pasaran terbesar bagi sektor utama seperti elektrik dan elektronik, aeroangkasa, getah, koko, dan farmaseutikal.

Menurut Zafrul, jumlah perdagangan dua hala dengan AS mencecah RM325 bilion pada 2024, dengan RM198.65 bilion daripadanya adalah eksport Malaysia yang jika akses ini gagal dikekalkan berisiko mengancam punca pendapatan jutaan rakyat.

Zafrul turut menegaskan kerajaan kekal berpegang kepada prinsip berkecuali, serta tidak berkompromi dalam isu dasar teras seperti Dasar Bumiputera, perolehan kerajaan dan pemilikan sektor strategik seperti tenaga dan telekomunikasi.

Katanya, hasil rundingan itu menyaksikan Malaysia diturunkan kadar tarif ke atas beberapa produk dari 25% kepada 19%, iaitu kadar terendah di Asean bagi negara yang mempunyai lebihan perdagangan dengan AS.

Selain itu, Malaysia turut memperoleh pengecualian tarif bagi 1,711 barisan produk eksport utama bernilai sehingga RM22 bilion, termasuk komponen pesawat, minyak sawit dan produk farmaseutikal.

“Jika Malaysia menolak perjanjian ini, tarif boleh dinaikkan semula ke kadar 24% atau lebih tinggi sehingga 100%. Ini akan melumpuhkan daya saing eksport kita.

“ART bukan menyerah kedaulatan. Ia langkah strategik untuk lindungi ekonomi negara, pekerjaan rakyat dan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global,” katanya dalam kenyataan menjawab dakwaan Muhyiddin.

Semalam, bekas perdana menteri itu mendakwa perjanjian terbabit mengandungi pelbagai peruntukan jerangkap samar atau bom jangka yang memudaratkan serta mengancam kedaulatan Malaysia.

Menjawab dakwaan Muhyiddin mengenai Artikel 3.4, Zafrul berkata peruntukan itu bukan melarang pemindahan teknologi, tetapi hanya memastikan syarikat tidak dipaksa menyerahkan rahsia teknologi secara paksa.

“Kerajaan masih boleh mengakses maklumat teknologi bagi tujuan pengawalseliaan undang-undang dan keselamatan infrastruktur kritikal,” katanya.

Mengenai dakwaan Malaysia perlu mengikut sekatan AS terhadap negara ketiga melalui Artikel 5.1, Zafrul menegaskan perjanjian itu hanya terpakai jika isu terbabit menjejaskan kepentingan ekonomi bersama dan tetap tertakluk kepada undang-undang domestik Malaysia.

“Tiada kewajipan membuta tuli. Malaysia kekal mempunyai autonomi diplomatik,” katanya.

Mengulas Artikel 5.2 mengenai kawalan eksport strategik, Zafrul menjelaskan Malaysia sememangnya telah mempunyai Akta Perdagangan Strategik sejak 2010, dan kerjasama dengan rakan dagang adalah langkah mengelakkan risiko sekatan sekunder yang boleh menjejaskan syarikat tempatan.

Bagi Artikel 5.3 yang menyentuh akses data kastam, beliau menegaskan perkongsian data tidak berlaku secara automatik, sebaliknya mengikut proses perundangan dan kawal selia domestik.

“Segala pertukaran maklumat tetap tertakluk kepada undang-undang Malaysia. Kedaulatan data negara tidak tergugat,” katanya.

Berkenaan dakwaan Malaysia perlu menyerahkan kawalan nadir bumi (REE) kepada AS melalui Artikel 6.2, Zafrul menegaskan Malaysia kekal melarang eksport mineral mentah itu untuk memastikan nilai tambah dan pembangunan industri hiliran dalam negara.

“Kita tidak akan kembali menjadi negara yang hanya menjual bahan mentah murah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.