
Ketika berucap pada Forum Media Asean ke-9 2025, beliau berkata, negara-negara Asia Tenggara mempunyai lebih banyak persamaan berbanding perbezaan, justeru wajar menggabungkan kekuatan dalam teknologi dan pembuatan.
“Antara 2001 dan 2020, syarikat korporat beritahu kita supaya menyaingi harga dari China,” katanya.
“Namun hari ini, dunia tidak lagi hanya mencari sumber termurah. Sebaliknya, syarikat-syarikat kini mengutamakan daya tahan dan pengurusan risiko.”
Liew berkata, rantaian bekalan global telah berubah dengan dramatik, dengan syarikat-syarikat kini melantik ketua pegawai risiko bagi melindungi operasi mereka.
Anjakan ini, katanya, membuka ruang untuk Asean menonjolkan diri sebagai hab pembuatan dan pembekalan semikonduktor yang berdaya tahan serta boleh dipercayai.
Menurut Liew, negara-negara seperti Singapura, Malaysia, dan Vietnam kini diiktiraf dunia atas kemajuan industri semikonduktor masing-masing, malah delegasi Eropah yang melawat rantau ini sering kali membawa bersama pemimpin industri mereka.
“Bila-bila masa pemimpin Eropah melawat, jadual perjalanan mereka pasti merangkumi Singapura, Malaysia, dan Vietnam – negara-negara inilah yang menjadi ‘tumpuan utama’ berkenaan semikonduktor,” katanya.
Liew berkata, kerjasama rentas sempadan seperti perkongsian semikonduktor antara Malaysia-Singapura atau Malaysia-Indonesia amat penting untuk melahirkan jaguh teknologi tempatan, sekali gus melonjakkan Asean daripada sekadar pengeluar kepada inovator dan penyedia penyelesaian.
Menyentuh isu ketegangan global, beliau memberi amaran bahawa langkah pemisahan teknologi antara Amerika Syarikat (AS) dan China boleh menjejaskan kemajuan sejagat.
“Mungkin kedua-dua pihak mahu berpisah, tetapi ia bukan demi kepentingan kita, EU, Afrika, mahupun Amerika Latin.
“Asean dan EU mesti bekerjasama untuk mengelakkan pembahagian teknologi,” katanya.
Liew menyasarkan Asean menjadi ‘juara teknologi pertengahan’, iaitu sebuah hab teknologi berkecuali dan diyakini yang diterima oleh semua pihak.
“Selagi Asean, terutamanya Malaysia, Singapura, dan Vietnam, mampu membina nama sebagai sumber semikonduktor yang boleh dipercayai … kita pasti dapat mengharungi sebarang cabaran geopolitik,” katanya.