‘Saya asal Genting Highlands’, jurulatih Azizulhasni dapat PR

‘Saya asal Genting Highlands’, jurulatih Azizulhasni dapat PR

John Beasley, seorang warga Australia, kini boleh menggelar Malaysia sebagai rumahnya.

john beasley
John Beasley jurulatih berbasikal trek negara sejak 1 Jan 2006, dan akan galas jawatan pengarah teknikal pasukan kebangsaan selepas Olimpik Paris. (Gambar Bernama)
PARIS:
Selepas 18 tahun berkhidmat dengan pasukan berbasikal trek kebangsaan, John Beasley kini boleh menggelar Malaysia sebagai rumahnya.

Jurulatih berusia 62 tahun itu berkongsi baharu sahaja mendapat pengesahan sebagai penduduk tetap kira-kira tiga minggu lepas.

“Saya dapat panggilan telefon, antara hari yang paling gembira, memaklumkan saya mendapat taraf penduduk tetap. Saya rasa diterima dan dihargai, dan saya memang rasa saya ‘orang putih’ Malaysia… saya cakap pada semua saya berasal dari Genting Highlands,” katanya bergurau.

“Tetapi saya bangga, saya sayangkan Malaysia. Isteri saya (Vicky Beasley) gembira di sini (Malaysia). Saya sedang cuba belajar Bahasa Malaysia. Saya boleh ikut perbualan anak buah (atlet di bawah kendaliannya) tetapi sukar untuk saya tangkap semuanya, tapi saya komited untuk perbaiki,” katanya.

Warga Australia itu mengambil peranan sebagai jurulatih berbasikal trek negara pada 1 Jan 2006 dan merupakan tulang belakang kepada perkembangan Azizulhasni Awang dari zaman remaja sehinggalah menjadi pelumba keirin bertaraf dunia termasuk memenangi emas Kejohanan Dunia 2017 dan dua pingat Olimpik iaitu gangsa pada Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020.

Sukan Olimpik Paris 2024 merupakan tugasan Beasley yang terakhir sebagai jurulatih dan selepas ini beliau akan menggalas jawatan pengarah teknikal pasukan kebangsaan.

Beasley menyifatkan hubungannya dengan Azizulhasni sebagai bapa angkat kepada atlet berusia 36 tahun itu setelah 17 tahun melatih pelumba itu.

Selepas kempen Olimpik kelima Azizulhasni berakhir dengan kekecewaan susulan tersingkir dalam acara keirin semalam, Beasley percaya sudah tiba masanya untuk Pocket Rocketman berhijrah ke fasa baharu hidupnya.

“Beliau telah mencurahkan bakti selama 17 tahun kepada negara, ia merupakan kerjaya yang panjang dan gemilang dan saya berpendapat sekarang masanya untuk beliau berpindah ke fasa baharu hidupnya… mahu lihat beliau menerajui sukan berprestasi tinggi di Malaysia dalam beberapa tahun ini.

“Mungkin beliau terus bertanding dalam keirin untuk dua tahun akan datang, mungkin di Jepun,” katanya.

Azizulhasni tersingkir pada saringan pertama keirin kerana memintas pacer sebelum pacer memecut keluar trek, semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.