Azizulhasni tak pasti akan beraksi Olimpik Los Angeles 2028

Azizulhasni tak pasti akan beraksi Olimpik Los Angeles 2028

'The Pocket Rocketman' berkata beliau perlu bincang dengan keluarga sebelum buat keputusan.

Jaguh berbasikal trek negara Azizulhasni Awang, berkata jurulatih dan rakan sepasukan ada memujuknya untuk meneruskan karier dan beraksi pada Olimpik Los Angeles 2028. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Jaguh berbasikal trek negara Azizulhasni Awang memerlukan masa untuk mempertimbang semula sama ada meneruskan kariernya sebagai pelumba dan beraksi di Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) ataupun bersara.

Pelumba yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu, berkata beliau perlu berbincang dengan keluarganya sebelum membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

Katanya, jurulatih John Beasley dan rakan sepasukan ada memujuknya untuk terus beraksi pada LA28, namun beliau belum lagi membuat sebarang keputusan.

“Selepas perlumbaan (Olimpik Paris) John dan Shah (Muhammad Shah Firdaus Sahrom) serta pasukan harap saya boleh pertimbang untuk beraksi pada (Sukan Olimpik) Los Angeles 2028, tapi saya perlu duduk bersama keluarga dan melapangkan fikiran saya.

“Sebab apa yang berlaku di Paris adalah sesuatu yang tak biasa dalam karier saya, tapi pada saya mereka tahu kalau saya berhenti berlumba saya akan tetap aktif dalam sukan, paling penting kalau mereka perlu bantuan saya, saya akan bantu,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, berkata Jawatankuasa Program Road To Gold (RTG) akan menyokong apa sahaja keputusan yang akan dibuat pelumba berusia 36 tahun itu dan akan tetap menyokong keperluannya.

Azizulhasni terpaksa menamatkan saingan di Sukan Olimpik Paris 2024 seawal pusingan pertama acara keirin lelaki selepas penyertaannya dibatalkan kerana tindakannya memotong pacer di Velodrom Quentin-en-Yvelines, Sabtu lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.