Norza dilantik naib presiden Majlis Olimpik Asia

Norza dilantik naib presiden Majlis Olimpik Asia

Presiden MOM itu memenangi jawatan naib presiden OCA tanpa bertanding bagi penggal 2024-2028.

norza
Presiden MOM Norza Zakaria dipilih sebagai naib presiden Asia Tenggara Majlis Olimpik Asia hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Norza Zakaria dipilih sebagai naib presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi Zon Asia Tenggara hari ini.

MOM dalam kenyataan memaklumkan, Norza memenangi jawatan itu tanpa bertanding bagi penggal 2024-2028 pada Perhimpunan Agung OCA ke-44 di New Delhi, India.

“Bagi pihak seluruh keluarga MOM, kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Norza atas pemilihan sebagai naib presiden OCA,” kata Timbalan Presiden MOM Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan.

“Ia membuktikan sifat kepimpinan dan dedikasi tidak berbelah bahagi terhadap kemajuan pergerakan Olimpik bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh benua Asia.”

Sementara itu, OCA dalam kenyataan berasingan mengumumkan Raja Randhir Singh dari India, atlet Olimpik lima kali, dipilih tanpa bertanding sebagai presiden baharu OCA

“Jawatan presiden, lima naib presiden bagi lima zon dan ahli lembaga eksekutif kesemuanya tiada saingan,” katanya.

“Pengundian elektronik melalui tablet memerlukan majoriti mudah 50%, ditambah satu daripada 45 Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan. Raja Randhir menerima 44 daripada 45 undi, dengan satu undi berkecuali.

Berikut senarai pemegang jawatan OCA bagi penggal 2024-2028:

Presiden: Raja Randhir Singh (India)

Naib Presiden: Asia Timur – Timothy Fok (Hong Kong); Asia Tenggara – Norza Zakaria (Malaysia); Asia Selatan – Putera Jigyel Ugyen Wangchuck (Bhutan); Asia Barat – Dr Thani Al-Kuwari (Qatar); Asia Tengah – Otabek Umarov (Uzbekistan)

Ahli Lembaga Eksekutif: Asia Timur – Mikako Kotani (Jepun); Asia Tenggara – Supitr Samahito (Thailand); Asia Tengah – Olga Rybakova (Kazakhstan); Asia Barat – Noora Al Jasmi (Emiriah Arab Bersatu); Asia Selatan – tiada calon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.