BAM pisah beregu campuran Tang Jie-Ee Wei

BAM pisah beregu campuran Tang Jie-Ee Wei

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei baru-baru ini digantung sementara daripada menyertai kejohanan, susulan ketegangan antara mereka.

Ketegangan dalam hubungan pasukan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dikatakan bermula sejak Sukan Olimpik Paris 2024, apabila mereka tersingkir pada peringkat suku akhir. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan bahawa gandingan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan dipisahkan bagi kejohanan akan datang.

Menurut kenyataan di laman Facebook, BAM berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa prestasi baru-baru ini, berdasarkan cadangan daripada panel kejurulatihan, termasuk Pengarah Kejurulatihan Beregu Rexy Mainaky dan Ketua Jurulatih Beregu Campuran Nova Widianto.

“Kami telah bersetuju memberi masa kepada jurulatih untuk mencuba kombinasi baharu yang berpotensi,” menurut kenyataan itu.

Isnin lepas, Nova mendedahkan bahawa Tang Jie dan Ee Wei digantung sementara daripada menyertai mana-mana kejohanan, susulan ketegangan antara mereka ketika ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada pasangan beregu campuran ranking keempat dunia itu menyelesaikan isu mereka.

Ketegangan dalam hubungan mereka dikatakan bermula sejak Sukan Olimpik Paris 2024, apabila mereka tersingkir pada peringkat suku akhir selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan Kim Won Ho-Jeong Na Eun, 19-21, 14-21.

Baru-baru ini, Ee Wei memadam semua gambar bersama Tang Jie di akaun Instagramnya, susulan kekalahan mereka pada pusingan pertama All England 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.