
Dalam kenyataan, MSN berkata pihaknya hanya bertanggungjawab membiayai kos perbelanjaan atlet, jurulatih, pegawai MSN, Institut Sukan negara (ISN) dan operasi Malaysia House sepanjang temasya sukan itu.
“Kos pembiayaan untuk delegasi MOM di bawah tanggungannya dan bagi tetamu mereka dibayar oleh pihak-pihak berkenaan dan tidak melibatkan dana kerajaan,” kata MSN.
Isnin lalu, FMT memetik MOM melaporkan pegawai kanan menghadiri Sukan Olimpik Paris dibenarkan membawa bersama orang jemputan masing-masing dan tidak membabitkan dana kerajaan.
Menjawab kritikan susulan kehadiran ahli keluarga Presiden Norza Zakaria pada suatu acara badminton, MOM berkata mereka diberi kad akreditasi khas yang membolehkan mereka membawa bersama orang jemputan masing-masing.
Menurut MOM, akreditasi bagi para pegawai kanan tidak sama dengan akreditasi yang diberikan kepada kontinjen Malaysia, termasuk jurulatih dan kakitangan sokongan.
Katanya, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa memperuntukkan kad akreditasi khas untuk presiden MOM dan setiausaha agung, bersama orang jemputan masing-masing.