
Ketua Polis Batu Pahat Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata hasil risikan hampir sebulan membawa kepada serbuan dilakukan pada Khamis lalu, serta penangkapan tujuh suspek.
Beliau berkata, suspek ditahan terdiri empat lelaki tempatan berumur antara 21 hingga 38 tahun dan tiga wanita warganegara Thailand serta Vietnam yang berumur lingkungan 24 hingga 25 tahun.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua tangkapan positif dadah jenis methamphetamine dan mendapati masing-masing tiada rekod kesalahan lampau, baik melibatkan dadah atau jenayah.
“Antara dadah yang berjaya dirampas terdiri daripada serbuk ekstasi seberat 5,219.71g; 65 biji pil ekstasi (23.17g); 56 pil Eramin 5 dan 96.46g ketamin,” katanya pada sidang akhbar di IPD Batu Pahat.
Shahrulanuar berkata, selain menjadikan rumah berkenaan sebagai stor dan pusat pembungkusan, sindiket ini turut mengedar dadah secara bersemuka dengan dadah dihantar kepada pelanggan yang telah membuat pesanan awal.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati sindiket ini mula bergiat aktif sejak awal Julai dan jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan hingga 19,000 penagih.
“Turut dirampas bersama suspek ialah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah motosikal serta wang tunai berjumlah RM2,380 dengan jumlah sitaan ialah RM92,730.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan pula sebanyak RM988,392. Semua suspek direman bermula Jumaat hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.