
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, mayat Abdullah Nassa, 77, dan isterinya, Jaimah Badar, 64, ditemukan di bilik mandi rumah dua tingkat separa kekal itu pada 12.15 tengah hari.
Katanya, bomba menerima panggilan kecemasan pada 10.55 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong dengan bantuan BBP Lopeng ke lokasi.
“Sebaik tiba, kita dapati rumah itu terbakar sepenuhnya. Kita kemudiannya bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran air salur bantu mula yang mana sumber air diperoleh dari sungai berdekatan.
“Selepas hampir setengah jam memadam kebakaran, api akhirnya berjaya dikawal sepenuhnya pada 11.30 pagi,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih lagi disiasat,” katanya.