Penghuni terjun laut dalam kebakaran di Tawau

Penghuni terjun laut dalam kebakaran di Tawau

Semalam, 30 rumah atas air separuh kekal musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira 11.23 malam.

Penghuni rumah atas air di Kampung Sri Aman terpaksa terjun ke laut untuk selamatkan diri ketika kebakaran semalam. (Gambar JBPM)
TAWAU:
Beberapa penghuni rumah atas air di Kampung Sri Aman terpaksa terjun ke laut untuk menyelamatkan diri selepas kediaman serta jambatan musnah dalam kebakaran yang berlaku semalam.

Liny Daurong, 58, berkata ketika kejadian dia dan suami yang menghidap penyakit kronik sedang tidur tersedar apabila terdengar jeritan anak lelaki yang pulang dari kerja, memberitahu berlaku kebakaran di rumah mereka.

“Anak saya terus mengangkat bapanya keluar rumah kerana suami tidak boleh berjalan dan bercakap. Saya pula sempat mengambil dokumen penting dan ikut anak yang menggendong suami hingga ke daratan sebelum saya dan anak berpatah balik ke rumah kerana mahu menyelamatkan barang lain.

“Masa itu saya nampak api sudah besar dan banyak rumah terbakar, api merebak dengan cepat hingga jambatan ke laluan rumah turut musnah menyebabkan saya terpaksa terjun ke laut untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Liny sempat mengarahkan anak supaya membuang semua barangan ke laut, sambil berdoa semoga selamat.

Liny berharap kerajaan membenarkan mangsa kebakaran membina semula rumah di tapak asal dan menyalurkan bantuan bagi membina rumah.

Janing Jamalang, 57, berkata ketika kejadian dia sedang tidur dan dikejutkan suaminya untuk keluar menyelamatkan diri tanpa sempat membawa apa-apa barang termasuk dokumen penting.

“Keadaan kelam-kabut dan cucu saya yang baru berusia sebulan dimasukkan ke dalam baju ibunya sebelum berlari menyelamatkan diri.

“Saya nampak ada yang terjun ke laut dan banyak juga yang sudah berada di perahu ketika api menjulang tinggi. Saya bersyukur keluarga semua selamat meskipun tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Tawau, Nurul Fadhilah Abdul Hamid, berkata sebuah pusat pemindahan sementara diaktifkan di dewan serba guna Kompleks Sukan Tawau bagi menempatkan lebih 200 mangsa kebakaran.

Semalam, sebanyak 30 rumah atas air separuh kekal musnah dalam kebakaran di Lorong Jade 4, Kampung Sri Aman, Jalan Apas, dalam kejadian yang berlaku kira-kira 11.23 malam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.