Adik suspek serang Balai Polis Ulu Tiram diperintah dapat rawatan di hospital

Adik suspek serang Balai Polis Ulu Tiram diperintah dapat rawatan di hospital

Peguam membuat permohonan itu kerana anak guamnya dikesan mempunyai simptom kemurungan ketika bertemunya di Penjara Simpang Renggam akhir Jun lalu.

Hakim Rasidah Roslee memerintahkan Mariah Radin Imran mendapatkan rawatan dengan kadar segera dan tanpa gagal. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Adik suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram 17 Mei lalu diperintah mendapatkan rawatan di hospital kerana dikesan mempunyai tanda kemurungan.

Sinar Harian melaporkan Hakim Rasidah Roslee memerintahkan tertuduh mendapatkan rawatan dengan kadar segera dan tanpa gagal ketika prosiding menetapkan tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Terdahulu, peguam mewakili lima sekeluarga itu, Faizal Rahman membuat permohonan tertuduh kelima, Mariah Radin Imran, 19, dirujuk ke hospital kerana anak guamnya dikesan mempunyai simptom kemurungan ketika bertemunya di Penjara Simpang Renggam akhir Jun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik turut bersetuju Jabatan Penjara mengambil tindakan sewajarnya.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes 2 Sept ini bagi mendapatkan laporan pakar keganasan dan kes itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ia susulan permohonan timbalan pendakwa raya untuk mahkamah menetapkan tarikh baharu sebutan semula kes kerana laporan pakar keganasan belum dilengkapkan.

Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, Rosna Jantan, 59, yang juga warga Singapura dan tiga anaknya, iaitu Radin Romyullah 34, Farhah Sobrina 23, dan Mariah tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru kira-kira 8.35 pagi tadi.

Pada 19 Jun lalu, kelima-lima tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen sama atas sembilan pertuduhan berasingan, termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan IS, tetapi tiada pengakuan direkodkan daripada mereka.

Radin Imran berdepan empat tuduhan, termasuk Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan, iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas IS.

Fahaman itu didakwa disemai kepada semua ahli keluarganya membabitkan Radin Luqman, 21, suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram, isterinya serta tiga anak lain.

Anak lelaki sulungnya berdepan dua pertuduhan, termasuk memberi sokongan kepada IS dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas itu, Abu Bakar Al-Baghdadi, manakala isteri dan dua anak perempuannya masing-masing menghadapi satu pertuduhan.

Semua tertuduh berdepan hukuman penjara antara tujuh hingga 40 tahun atau denda atau kedua-duanya, dengan semua harta digunakan bagi melakukan kesalahan itu hendaklah dirampas, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram antara April 2017 hingga 17 Mei tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.