Bersatu sedia jadi pendamai PAS-Gerakan, kata Peja

Bersatu sedia jadi pendamai PAS-Gerakan, kata Peja

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata situasi membabitkan PAS dan Gerakan hanya membabitkan perbezaan pendapat.

Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu berkata Bersatu berperanan sebagai sahabat mendamaikan PAS dan Gerakan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bersatu sedia mengambil peranan mendamaikan perselisihan pandangan antara PAS dan Gerakan berhubung kontroversi pengumpulan dana sekolah Cina sehingga salah sebuah parti bersedia meninggalkan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden, Ahmad Faizal Azumu, berkata kesediaan itu susulan tanggungjawab sebagai sahabat dalam gabungan untuk mengelakkan perselisihan berterusan sehingga menjejaskan hubungan berkenaan.

“Itu peranan seorang sahabat, jika ada dalam kalangan kawan-kawan berselisih, bermasam muka…kawan di tengah itu pula untuk mendamaikan.

“Jadi kalau Bersatu perlu buat, iya (kami akan buat),” katanya kepada FMT.

Faizal yang juga timbalan pengerusi PN mengulas perbezaan pendapat antara PAS dan Gerakan mengenai isu dana sekolah Cina.

Di sebalik perbezaan pendapat itu, Faizal berkata Gerakan dan PAS senada bahawa kerajaan perpaduan gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik terutama berkait kos sara hidup.

Dua parti itu saling berbalas kenyataan apabila Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari pada Ahad lalu, menyuarakan rasa ‘sangat kecewa’ terhadap Gerakan dan tidak menolak kemungkinan memutuskan hubungan berkait sumbangan syarikat arak kepada sekolah Cina.

Ia susulan kenyataan Presiden Gerakan Dominic Lau sehari sebelumnya yang menegaskan Kementerian Pendidikan tidak seharusnya menyekat ‘syarikat tertentu’ menyumbang dana kepada sekolah Cina, sambil menegaskannya tidak mempengaruhi pelajar menjadi peminum tegar.

Dominic mengulas keputusan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah, antara lain aktiviti di premis pendidikan tidak boleh memapar serta mempromosikan minuman keras.

Bagaimanapun, Jemaah Menteri akan memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan melalui lembaga pengelola sekolah dan yayasan, seperti diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.

Kenyataan Fadhli kemudian disambut Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong yang menyatakan kesediaan parti itu keluar PN dan menegaskan usaha menyokong sekolah Cina mengumpul dana di sebalik ancaman sekutunya.

Menyusuli kenyataan itu, Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berkata pihaknya tiada halangan jika Gerakan ambil keputusan keluar PN kerana setiap parti ada hak dan pendirian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.