Gangguan sistem elektrik, dewan bedah Pusat Jantung HSIS ditutup sementara

Gangguan sistem elektrik, dewan bedah Pusat Jantung HSIS ditutup sementara

Pengarah JKNS berkata, kontraktor sedang melakukan semakan dengan dipantau rapi JKR bagi mengenal pasti punca serta menangani masalah itu.

HSIS memindahkan perkhidmatan pembedahan kardiotorasik ke 2 dewan bedah di bangunan utamanya, beroperasi 24 jam. (Gambar Wikipedia)
SHAH ALAM:
Pengoperasian dewan bedah Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) di Serdang ditangguhkan sementara bermula 22 Julai lepas akibat gangguan sistem elektrik berulang bagi mengelakkan pesakit berdepan risiko.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata, pihak kontraktor sedang melakukan semakan dengan pemantauan rapi Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan tersebut, seterusnya melakukan penambahbaikan bagi menangani masalah itu.

Katanya, bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan, HSIS memindahkan perkhidmatan pembedahan kardiotorasik ke dua dewan bedah di bangunan utamanya, beroperasi 24 jam.

“Selain itu, pihak Kementerian Kesihatan juga melaksanakan penyumberluaran pesakit jantung ke fasiliti swasta oleh Protect Health Corporation bermula 18 Julai bagi mengurangkan tempoh menunggu pesakit jantung yang perlu menjalani pembedahan kardiotorasik,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pemantauan rapi bagi memastikan pembaikan sistem elektrik di Kompleks Dewan Bedah Pusat Jantung HSIS disegerakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.