Kes Abang Belon: Hanya pakar boleh keluar diagnosis cedera saraf tunjang, kata KKM

Kes Abang Belon: Hanya pakar boleh keluar diagnosis cedera saraf tunjang, kata KKM

KKM jawab dakwaan pengamal perubatan swasta bahawa Za’imuddin Azlan berisiko lumpuh kekal.

PC abang belon Muhammad Zaimuddin Azlan
Penjaja belon Za’imuddin Azlan sebelum ini dirawat di HSIS Serdang selama 7 hari disebabkan kecederaan dialaminya susulan pergelutan dengan anggota penguat kuasa DBKL di Jalan TAR pada 28 Mac lepas.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, hanya pakar bertauliah boleh mengeluarkan diagnosis kecederaan teruk pada saraf tunjang yang didakwa dialami penjaja belon Za’imuddin Azlan susulan pergelutan dengan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kementerian itu berkata, kecederaan melibatkan tulang belakang atau saraf tunjang hanya boleh didiagnosis, diperiksa dan dirawat oleh pakar ortopedik dan pakar bedah saraf bertauliah.

Tambahnya, pengamal perubatan tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan umum yang mengelirukan atau menimbulkan tanggapan salah, terutamanya yang boleh mencemar reputasi profesion perubatan.

“Mana-mana pengamal perubatan yang tidak mempunyai kelayakan dan Sijil Perakuan Amalan Tahunan yang sah, atau tidak berdaftar sebagai pakar perubatan dalam Daftar Pakar Kebangsaan bagi bidang kepakaran tertentu, tidak boleh beramal sebagai pengamal perubatan atau pakar perubatan dan memberikan apa-apa diagnosis atau rawatan ke atas mana-mana pesakit.

“Mana-mana pengamal perubatan yang didapati menyalahi tatacara amalan perubatan boleh diambil tindakan di bawah Akta Perubatan 1971,” kata KKM dalam kenyataan.

Za’imuddin cedera dalam pergelutan dengan anggota penguat kuasa DBKL di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, pada 28 Mac lepas kerana dikatakan menjual belon tanpa lesen yang sah.

Pada sidang media Ahad lepas, pengamal perubatan swasta Dr Mohd Hafidz Rizal Amran mendakwa Za’imuddin mungkin berisiko lumpuh kekal selepas mengalami kecederaan teruk pada saraf tunjang toraks T12.

Beliau juga mendakwa, Za’imuddin menghadapi banyak komplikasi susulan kecederaannya, seperti berasa kebas dan tidak dapat mengawal kencing.

KKM menegaskan, Za’imuddin telah mendapat diagnosis dan rawatan yang diperlukan sejak dimasukkan ke Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang, susulan kejadian.

“Janji temu seterusnya juga telah ditetapkan, dan beliau boleh meneruskan sebarang rawatan yang ditentukan perlu dan wajar oleh pakar-pakar perubatan yang bertanggungjawab,” katanya.

Kementerian bagaimanapun tidak mendedahkan diagnosis rasmi kecederaan lelaki itu.

Za’imuddin dirawat di HSIS selama tujuh hari mulai 29 Mac disebabkan kecederaannya.

Polis telah merakam kenyataan lima individu berhubung kejadian itu, yang disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sumber Bukit Aman kemudian mendedahkan bahawa Za’imuddin mempunyai rekod 13 kesalahan lampau, namun menurutnya rekod jenayah seseorang tidak boleh digunakan sebagai justifikasi untuk menganiaya mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.