Kerajaan arah Menara KL tutup sementara, dakwa operasi MKLSB tanpa kebenaran

Kerajaan arah Menara KL tutup sementara, dakwa operasi MKLSB tanpa kebenaran

Kementerian Komunikasi berkata ia bagi beri ruang pengurusan baharu membuat kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan.

kl tower
Kementerian Komunikasi berkata tarikh pembukaan semula Menara Kuala Lumpur akan dimaklumkan dalam masa yang sesuai.
PETALING JAYA:
Kerajaan mengarahkan Menara Kuala Lumpur ditutup bermula esok.

Kementerian Komunikasi dalam satu kenyataan berkata Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) beroperasi di menara itu tanpa kebenaran kerajaan.

Ini susulan dua notis pengosongan dikemukakan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan kepada pihak MKLSB melalui surat bertarikh 3 April 2025 dan 9 April 2025.

“Demi keselamatan dan keselesaan pengunjung serta bagi memberi ruang kepada pengurusan baharu untuk membuat kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan bangunan Menara KL akan ditutup buat sementara waktu,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, pembukaan semula Menara Kuala Lumpur akan dimaklumkan dalam masa yang sesuai.

LSH Service Master sepatutnya mengambil alih pengurusan Menara KL pada 1 April lalu, namun berdepan kebuntuan selepas MKLSB dan syarikat induknya, Hydroshoppe Sdn Bhd, memfailkan saman berhubung penganugerahan konsesi itu, dengan mendakwa berlaku pelanggaran kontrak dan salah laku.

Sebelum ini, Kementerian Komunikasi memaklumkan bahawa kontrak pengurusan MKLSB telah tamat pada 31 Mac, dan bahawa LSH Service Master— yang dikuasai Lim Seong Hai Capital Bhd— telah dianugerahkan konsesi selama 20 tahun pada Mei 2024.

MKLSB dan Hydroshoppe kini menuntut ganti rugi dan kerugian berjumlah RM20.13 juta, serta pemulangan semula konsesi kepada mereka.

Mereka juga enggan mengosongkan premis dan terus mengendalikan operasi Menara Kuala Lumpur.

Susulan itu, LSH Service Master telah membuat laporan polis pada 1 April selepas dihalang daripada memasuki kawasan premis.

Ketua pegawai eksekutifnya, Khairil Faizal Othman, dilaporkan berkata syarikat mengalami kerugian kewangan setiap hari akibat kegagalan mengambil alih operasi menara itu, namun enggan mendedahkan jumlah kerugian.

Kementerian turut menegaskan bahawa pendudukan MKLSB di atas tapak Menara Kuala Lumpur selepas 31 Mac adalah tidak sah.

Pada 8 April, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan Hydroshoppe dan MKLSB untuk injunksi ad interim terhadap LSH Service Master.

Mahkamah menetapkan 9 Jun untuk mendengar permohonan injunksi interim MKLSB dan Hydroshoppe.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.