Gangguan elektrik tak jejas operasi penting Terminal 2 KLIA

Gangguan elektrik tak jejas operasi penting Terminal 2 KLIA

Insiden berlaku pada 2.15 petang akibat 'flashover' pada bahagian sambungan hujung kabel.

mahb malaysia airports
MAHB beri jaminan bahawa operasi lapangan terbang tidak terjejas sepanjang kejadian. (Gambar KLIA)
PETALING JAYA:
Gangguan bekalan elektrik sementara di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA T2) petang tadi tidak menjejaskan perkhidmatan penting lapangan terbang.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan memaklumkan insiden berlaku pada 2.15 petang akibat percikan elektrik (flashover) pada bahagian sambungan hujung kabel.

“Kami ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa operasi lapangan terbang tidak terjejas sepanjang insiden ini.

“Sistem kuasa utama kami, termasuk penjana sokongan, berfungsi serta-merta bagi memastikan kelancaran operasi sistem kritikal seperti pengendalian bagasi, kaunter daftar masuk dan paparan maklumat penerbangan,” katanya.

Terdahulu Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengarahkan pengurusan MAHB dan KLIA 2 menghantar laporan dalam tempoh 24 jam susulan gangguan elektrik selama 20 minit petang tadi.

Loke turut meluahkan ketidakpuasan hati terhadap insiden yang disaksikannya sendiri sebelum melancarkan satu majlis di KLIA2.

“Apa yang berlaku hari ini tak boleh diterima. Esok ada mesyuarat Jemaah Menteri dan pasca Jemaah Menteri kementerian, dan saya tak nak dengar apa-apa alasan menuding jari antara satu sama lain,” kata Loke.

Dalam pada itu, MAHB berkata pihaknya bertindak pantas dengan mengalihkan bekalan kuasa daripada pencawang alternatif serta berjaya memulihkan bekalan sepenuhnya dalam tempoh 28 minit.

“Sepanjang tempoh itu, semua perkhidmatan penting kekal beroperasi,” katanya.

MAHB berkata, pihaknya juga akan mengemukakan laporan insiden itu kepada Loke.

Pihaknya juga memberi jaminan untuk mengekalkan tahap keselamatan, kebolehpercayaan dan perkhidmatan yang tinggi, dan dalam masa yang sama sedang menjalankan penilaian menyeluruh bagi mencegah kejadian sama berulang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.