
Menerusi video yang dimuat naik di Facebook, Loke berkata, MAHB telah menjelaskan dalam mesyuarat pasca Jemaah Menteri hari ini bahawa insiden itu berlaku disebabkan sistem pendawaian terlampau panas menyebabkan kabel terbakar.
Beliau bagaimanapun menegaskan, tempoh 28 minit untuk kuasa elektrik dikembalikan terlalu lama dan sukar diterima.
“Apa yang penting, kita nak pastikan supaya sistem sandaran (backup) mesti diaktifkan dengan segera, dalam apa jua keadaan,” katanya.
“Saya telah mengarahkan MAHB untuk melihat kembali keseluruhan infrastruktur elektrik supaya apa saja berlaku, operasi kita tidak terganggu dan juga kuasa elektrik akan sentiasa dapat dibekalkan.”
Susulan insiden pada 2.15 petang semalam, MAHB menjelaskan gangguan itu tidak menjejaskan perkhidmatan penting lapangan terbang.
Menurutnya, insiden itu berlaku akibat percikan elektrik (flashover) pada bahagian sambungan hujung kabel.
Loke sebelum itu mengarahkan pengurusan MAHB dan KLIA2 menghantar laporan dalam tempoh 24 jam susulan gangguan elektrik selama 20 minit yang dialaminya sendiri sebelum melancarkan satu majlis di lapangan terbang itu.
“Apa yang berlaku hari ini tak boleh diterima. Esok ada mesyuarat Jemaah Menteri dan pasca Jemaah Menteri kementerian, dan saya tak nak dengar apa-apa alasan menuding jari antara satu sama lain,” kata Loke semalam.