
Peranannya dalam OCA akan memastikan Malaysia berada pada kedudukan untuk menerap tadbir urus yang baik, kepimpinan, dan pembangunan dalam sukan sejagat.
Di sebalik cabaran yang dihadapi persekutuan-persekutuan kesukanan serantau mutakhir ini, setiap Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) yang menganggotai OCA di Asia Tenggara memilih Norza untuk membawa perubahan.
Sokongan memberangsangkan daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor-Leste, Vietnam, dan Malaysia menonjolkan kesediaan Norza berdepan cabaran baharu.
Tokoh-tokoh sukan tanah air berkata Norza boleh diharapkan untuk memperkasa aspirasi sukan negara dan matlamat Olimpik.
Norza akan diumumkan secara rasmi sebagai salah seorang daripada lima naib presiden untuk tempoh empat tahun pada perhimpunan agung OCA ke-44, di New Delhi, India pada 8 Sept.
Beliau adalah presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sejak 2018. MOM merupakan NOC Malaysia.
Hamzah Abu Samah, presiden NOC Malaysia yang keempat, anggota IOC (1978-2004) dan anggota kehormat IOC (2004-2012), merupakan naib presiden OCA dari Malaysia yang pertama pada 1980-an.
Norza berkata: “Saya rasa rendah hati dan berbesar hati apabila dipilih sebagai satu-satunya calon untuk jawatan naib presiden OCA bagi Asia Tenggara.
“Saya turut berbangga menjadi orang kedua dari Malaysia yang dipilih menjadi naib presiden OCA setelah Tan Sri Hamzah, selepas hampir empat dekad.
“Saya ingin merakamkan terima kasih kepada rakan sekerja dalam NOC Asia Tenggara atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap saya untuk memimpin pergerakan Olimpik di zon kita.”
“Marilah kita terus berusaha mencapai kecemerlangan, mengukuhkan solidariti, dan menjunjung semangat gerakan Olimpik di Asia Tenggara.”
OCA pada Isnin mengesahkan pemilihan tanpa bertanding Raja Randhir Singh dari India sebagai presiden baharu, manakala Thani Al-Kuwari dari Qatar terpilih tanpa bertanding untuk jawatan naib presiden bagi Asia Barat.
Tiga jawatan naib presiden lain iaitu bagi Asia Selatan, Asia Timur, dan Asia Tengah bakal menyaksikan pertandingan.
Perintis kesukanan
Tugas di OCA bukan sekadar pencapaian peribadi bagi Norza, tetapi akan menjadi tanggungjawab paling mencabar buat beliau.
Norza arif tentang sistem OCA, memandangkan penglibatan beliau sejak 2019.
Beliau pernah menganggotai jawatankuasa hubungan antarabangsa OCA (2019-2023), mempengerusikan jawatankuasa sukan untuk semua OCA (2023-2027), dan sejak tahun lalu ahli panel penyelarasan OCA bagi Sukan Asia ke-20 di Jepun bagi 2026.
Norza seseorang yang tekad selesaikan misinya. Selepas mengumumkan akan melepaskan jawatan presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) seusai Olimpik di Paris, beliau bulan lalu melancarkan perubahan besar-besaran badan sukan itu.
Beliau membawa masuk pakar-pakar luar untuk transformasi BAM bagi memastikan badan itu bersedia menghadapi cabaran mendatang.
Kerjasama dengan firma perunding swasta, Pemandu Associates, meliputi segenap aspek operasi BAM dan langkah itu dilihat sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam pentadbiran sukan kebangsaan.
Beliau dipuji kerana mengambil langkah untuk mengubah minda dan tingkah laku, dengan matlamat untuk meningkatkan kedudukan kewangan BAM, serta mengukuhkan prestasi, arah tuju, dan penyertaan di semua peringkat sukan itu.