
Air Selangor memaklumkan peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka akan mencapai sekitar 40% pada jam 8 pagi esok diikuti 90% pada jam 8 malam.
“Gangguan bekalan air dijangka selesai sepenuhnya selewat-lewatnya 8 pagi Jumaat ini,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, lebih 100 kawasan di tujuh daerah mengalami gangguan air selepas henti tugas sementara Loji Rawatan Air Rantau Panjang (LRA Rantau Panjang), Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).
Loji berkenaan terpaksa dihenti tugas berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah.
Air Selangor berkata jangkaan masa pemulihan penuh adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
“Bagaimanapun, Air Selangor menggerakkan lori tangki air ke kawasan masih terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
“Bantuan bekalan air alternatif menerusi 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai,” katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan pengguna tidak perlu bimbang jika bekalan air baru pulih itu berwarna atau keruh.
“Situasi sebegini lazimnya berlaku semasa bekalan air terputus disebabkan oleh gangguan bekalan air berjadual atau tidak berjadual.
“Bekalan air yang disambung semula boleh menyebabkan pemendapan sedimen dalam paip utama yang kosong terampai semula, ini mengakibatkan bekalan air berubah warna,” katanya.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan membiarkan paip air mengalir selama lima hingga 10 minit sehingga kembali jernih sebelum digunakan.