
Khaidhirah Abu Zahar berkata pihaknya tidak mengetahui Jailani menyertai parti pembangkang itu, sebelum dimaklumkan oleh setiausaha agung PAS semalam.
“Dari sidang tahun lepas dia duduk kerusi yang sama,” kata timbalan exco pelaburan, perindustrian dan pembangunan TVET negeri kepada FMT.
“Dari dia tak jadi exco dia masih duduk dalam blok kerajaan. Dia duduk lah sederet pembangkang tapi dia bukan pembangkang. Kita tak pernah layan dia macam pembangkang.”
Jailani merupakan exco bagi portfolio pelancongan, warisan, dan kebudayaan ketika pentadbiran Ketua Menteri Sulaiman Md Ali (Mac 2020 – Mac 2023).
Takiyuddin Hassan mengumumkan Jailani merupakan ahli PAS pada sidang media di Parlimen semalam. Menurutnya, Jailani memohon untuk menyertai parti itu pada 10 Jun 2023 dan permohonan diterima hari sama.
Pendedahan itu disebalik laporan media sebelum ini, bahawa pada 9 Sept tahun lalu, lembaga disiplin Umno mengesyorkan Jailani digantung keahlian selama enam tahun.
Sebelum itu, media melaporkan Jailani didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional bagi PRK DUN Simpang Jeram, Johor, pada 23 Ogos tahun lalu.
Dalam pada itu, Khaidhirah yang juga Adun Rim mempersoalkan mengapa baru sekarang diumumkan Jailani menyertai pembangkang.
“Kita tak tahu pun dia dah jadi ahli PAS sejak tahun lepas…sebab itu kita hanya menggantungkan dia tanpa kita menggugurkan keahlian dia,” katanya.
Jailani, pada sidang media Takiyuddin, berkata dia memilih menyertai menyertai PAS kerana ‘ingin susah senang bersama rakyat’.
Mengulas tindakan PAS mencabar speaker DUN Melaka mengisytiharkan kekosongan kerusi Rembia susulan pendedahan kelmarin, Khaidhirah berkata keputusan parti itu menerima Jailani mendedahkan sikap sebenar mereka.
“Adakah mereka cuba membuktikan mereka mampu memenangkan kerusi itu untuk mereka sendiri tanpa menghiraukan apa-apa proses lain?” katanya.
Kelmarin, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari mendakwa kemasukan Jailani tidak melanggar undang-undang memandangkan DUN Melaka hanya meluluskan peruntukan antilompat parti pada 31 Julai tahun lepas.