Didakwa raba budak, lelaki diarah jalani khidmat masyarakat 120 jam

Didakwa raba budak, lelaki diarah jalani khidmat masyarakat 120 jam

Tertuduh didakwa meraba bahagian badan dari rambut hingga punggung mangsa bagi tujuan seksual dalam lif sebuah pangsapuri di Taman Desa, Brickfields bulan lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 12 tahun.
KUALA LUMPUR:
Seorang pekerja kedai makanan segera diperintah melaksanakan khidmat masyarakat 120 jam dalam tempoh enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana meraba seorang kanak-kanak perempuan yang juga jirannya dalam lif sebuah pangsapuri bulan lepas.

Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh terbabit mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 12 tahun.

Lelaki 19 tahun itu didakwa meraba bahagian badan dari rambut hingga punggung mangsa bagi tujuan seksual dalam lif sebuah pangsapuri di Taman Desa, Brickfields di sini pada 4.38 petang 10 Jun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh meraba mangsa yang ketika itu berada dalam lif bersama adik perempuannya berusia 10 tahun, sebelum mangsa dan adiknya keluar daripada lif dan mengadu kepada ibu mereka.

Terdahulu, Pegawai Pembangunan Masyarakat, Nur Khalidah Ab Hamid dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membacakan laporan sosial tertuduh berkata, hasil temu ramah bersama lelaki itu dan ibu bapanya mendapati beberapa faktor, antaranya persekitaran tempat tinggal dan pergaulan rakan sebaya mendorongnya melakukan perkara menyalahi undang-undang tanpa memikirkan kesan serta akibat.

Beliau berkata, perintah khidmat masyarakat 120 jam dalam tempoh enam bulan wajar dikenakan ke atas tertuduh kerana ia mampu mengubah mentalitinya menjadi lebih matang dan berfikir sebelum melakukan tindakan menyalahi undang-undang.

“Memandangkan penama seorang yang pasif dan tidak pandai menyesuaikan diri dengan persekitaran serta banyak mengelamun, hukuman ini bersesuaian dengan penama untuk mengembalikan penama kepada masyarakat.”

Khalidah berkata, Program Skill and Carrier @ CSO juga dapat diberikan kepada penama sebagai program pembangunan kerjaya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.