
Hakim Alwi Abdul Wahab menjelaskan terdapat perbezaan antara kes murtad dan kes ‘ab initio’, berpandukan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Rosliza Ibrahim v Kerajaan Negeri Selangor (2021).
Beliau menerangkan kes murtad merupakan bidang kuasa mahkamah syariah, menurut Perkara 121(1A) Perlembagaan, manakala kes ‘ab initio’ — iaitu seseorang mendakwa bukan Muslim sejak awal — boleh didengar oleh mahkamah sivil.
“Keseluruhan fakta dalam rayuan ini menetapkan bahawa perayu memeluk Islam pada Oktober 2007,” kata Alwi dalam alasan ringkas yang disampaikan awal minggu ini.
Hakim Alwi, yang bersidang bersama Evrol Mariette Peters dan Latifah Tahar, mengambil maklum bahawa wanita berusia 39 tahun itu menyatakan dalam laporan polis bahawa dia memeluk Islam secara sukarela, malah kad pengislaman sementara dan sijil berkaitan diberikan kepadanya.
Wanita itu kemudian memperoleh kad pengenalan baharu yang memaparkan nama Muslim, dengan agamanya dinyatakan sebagai Islam.
Mahkamah juga mengambil maklum bahawa tiga pegawai daripada Majlis Agama Islam Melaka yang menyaksikan pengislaman tersebut memberi keterangan bahawa dia memeluk Islam secara sukarela, dan melafazkan kalimah syahadah dengan tenang dan tanpa paksaan.
Alwi turut menarik perhatian kepada tingkah laku wanita itu selepas pengislaman — memohon bantuan kewangan daripada pihak berkuasa agama negeri, memohon pertukaran nama dan agama di Jabatan Pendaftaran Negara, serta memohon kepada mahkamah syariah untuk berkahwin dengan seorang Muslim.
“Oleh itu, ini adalah kes murtad, maka pengisytiharan yang dipohon bukan bawah bidang kuasa mahkamah sivil,” katanya.
Mahkamah Rayuan juga memutuskan bahawa tuntutannya terhalang oleh kelewatan, ‘laches’ (tangguhan cuai), dan akuiesens, memandangkan saman pemula difailkan pada 2022 — hampir 15 tahun selepas pengislamannya — tanpa sebarang penjelasan munasabah bagi kelewatan tersebut.
Alwi menambah amalan agama Hindu yang dilakukannya kemudian adalah tidak relevan dari segi undang-undang, kerana istilah perlembagaan ‘menganut’ agama Islam tidak memerlukan amalan sebenar kepercayaan tersebut.
“Dapatan fakta Mahkamah Tinggi disokong oleh bukti dan tiada khilaf,” katanya.
Sidang hakim memerintahkan wanita itu, yang diwakili Rajesh Nagarajan dan Amanda Sonia Mathew selaku peguam, membayar kos sebanyak RM20,000 kepada majlis agama dan kerajaan Melaka.
Nazri Abdul Hamid hadir bagi pihak majlis agama, manakala peguam kanan persekutuan Khairul Azreem Mamat dan peguam persekutuan Nor Azizah Yusof mewakili kerajaan negeri.