Suspek kedua disyaki buli Esha direman 4 hari

Suspek kedua disyaki buli Esha direman 4 hari

Suspek lelaki berusia 44 tahun ditahan petang semalam di sekitar Setapak.

Ahmad Sukarno Mohd Zahari
Ketua Polis Sentul Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata suspek direman bermula hari ini hingga Ahad untuk bantu siasatan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang pemandu lori yang ditahan semalam kerana disyaki terbabit dalam kes ugutan melalui TikTok terhadap pempengaruh media sosial A Rajeswary, 30, atau lebih dikenali Esha direman empat hari mulai hari ini.

Ketua Polis Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata suspek lelaki warga tempatan berusia 44 tahun itu ditahan 6.30 petang semalam di sekitar Setapak.

“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen (ugutan jenayah) 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib),” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini media melaporkan seorang wanita berusia 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes sama di sebuah kelab golf di Rawang, Selangor, Isnin lalu.

Sukarno berkata, tempoh reman suspek wanita itu tamat Rabu lalu dan kini dilanjutkan dua hari lagi.

Media sebelum ini melaporkan Esha ditemui meninggal dunia di kondominium di Setapak Jumaat lalu sehari selepas membuat satu laporan di Balai Polis Dang Wangi berhubung buli siber dihadapinya.

Laporan itu kemudian dirujuk kepada IPD Sentul untuk siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.