Jabatan Perikanan nafi dakwaan plastik terpakai diproses jadi pelet makanan ikan

Jabatan Perikanan nafi dakwaan plastik terpakai diproses jadi pelet makanan ikan

Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Azahari Othman berkata berlaku kekeliruan terhadap dakwaan itu.

Azahari Othman berkata beg pembungkusan makanan ikan itu diproses menggunakan plastik terpakai.
PETALING JAYA:
Jabatan Perikanan (DOF) menafikan dakwaan pelet plastik diproses menjadi makanan ikan yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penternak akuakultur.

Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Azahari Othman berkata dakwaan itu sekadar kekeliruan.

“Baru-baru ini, sebuah kilang kitar semula di Kuala Muda diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan didapati memproses bahan kitar semula menjadi pelet plastik dan membungkusnya menggunakan beg plastik kitar semula,” katanya menurut Sinar Harian pada majlis pelancaran Banci Pertanian 2024 di Serdang, Selangor.

Semalam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah dilaporkan mengesan sebuah kilang kitar semula yang disyaki memproses plastik terpakai menjadi pelet makanan ikan di sebuah kawasan perindustrian di Sungai Petani.

Azahari berkata beg pembungkusan itu ialah beg makanan ikan dan penternak keliru pelet plastik itu adalah makanan ikan.

“DOF ingin menegaskan kilang kitar semula tersebut tiada kaitan dengan PSJ Feed Sdn Bhd, sebuah kilang makanan ikan yang sah dan beroperasi di Pulau Pinang sejak 2022.”

Menurutnya PSJ Feed Sdn Bhd dalam proses mendapatkan pensijilan kualiti ikan (FQC) yang menunjukkan komitmen mereka terhadap kualiti dan keselamatan produk.

Katanya DOF sudah mengambil sampel makanan di kilang PSJ Feed Sdn Bhd bagi menganalisis komposisinya dan keputusan analisa akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari bekerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.