Penggunaan beg plastik dilarang di hutan simpan, tapak warisan

Penggunaan beg plastik dilarang di hutan simpan, tapak warisan

Kaedah pelaksanaan akan diperhalusi dan disesuaikan mengikut keperluan dan kemampuan negeri.

Larangan penggunaan beg plastik adalah sebahagian pendekatan mendidik masyarakat mengenai pentingnya penggunaan bahan mesra alam demi kesejahteraan generasi akan datang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan memperluas pelaksanaan larangan penggunaan beg plastik ke kawasan hutan simpan, taman negara, taman laut serta tapak warisan geologi dan geotapak di seluruh negara bagi mengurangkan pencemaran.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata langkah itu diputuskan dalam mesyuarat menteri alam sekitar dan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang bertanggungjawab mengenai alam sekitar (MEXCOE) bilangan 1 tahun 2025, semalam.

Katanya, larangan sama turut dikenakan di premis tetap seperti pasar raya, kedai serbaneka, restoran makanan segera, farmasi dan lain-lain premis berkaitan.

“Kaedah pelaksanaan akan diperhalusi dan disesuaikan mengikut keperluan dan kemampuan negeri masing-masing.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada pendekatan mendidik masyarakat mengenai pentingnya penggunaan bahan mesra alam demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata mesyuarat tersebut turut bersetuju akan memperkukuh usaha sama antara kerajaan persekutuan dan negeri dalam membanteras pemprosesan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi malah akan mengambil tindakan tegas terhadap premis haram yang terbabit aktiviti berkaitan bagi menghentikan peningkatan e-waste haram dari luar negara.

“Selain itu, kementerian juga menyebarluaskan panduan amalan hijau majlis rumah terbuka lestari sempena musim perayaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan gaya hidup mesra alam.

“Langkah seperti mengurangkan penggunaan plastik, mengelak pembaziran dan menggalakkan pengurusan sisa lestari bukan saja membantu memelihara alam sekitar, malah mencerminkan keprihatinan rakyat terhadap masa depan bumi,” katanya.

September lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilaporkan berkata sebanyak 20 pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka, serta kedai rangkaian farmasi, kesihatan dan kecantikan akan menghentikan penggunaan beg plastik sepenuhnya di 8,000 premis perniagaan mereka.

Katanya, antara yang menyertai inisiatif itu ialah 99 Speedmart, Aeon, 7-Eleven, TF Value Mart dan Guardian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.