
Menurutnya, ia menyiasat pegawai dari ibu pejabat Jabatan Perikanan serta cawangannya di Johor, Kedah, Terengganu dan Pahang berhubung kelulusan 54 lesen perikanan kepada dua syarikat.
Katanya, sebahagian pegawai didapati tidak mematuhi prosedur dan dasar pelesenan jabatan itu dalam proses permohonan serta kelulusan bagi lesen 54 kapal nelayan milik dua syarikat terbabit.
“Turut wujud unsur jenayah pemalsuan atau menggunakan dokumen palsu sebagai tulen yang boleh disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.
EAIC berkata, hasil siasatan itu dirujuk kepada AGC dengan cadangan untuk siasatan jenayah ke atas suspek dikenal pasti.
Katanya, ia turut merujuk hasil siasatan itu kepada pihak berkuasa tatatertib Jabatan Perikanan dengan hukuman tatatertib disyorkan kerana pegawai terbabit “tidak bertanggungjawab, ingkar perintah dan cuai dalam melaksanakan tugas”.
Ia mengesyorkan ketua pengarah perikanan mempertimbangkan pembatalan lesen yang dikeluarkan kepada 54 kapal dan menyediakan garis panduan khusus berkaitan permohonan mengubah suai vesel lebih 20%.
Ia turut mencadangkan penambahbaikan sistem pengurusan fail di pejabat perikanan daerah dan sistem pelesenan dalam talian serta menetapkan had bilangan lesen boleh dikeluarkan kepada sesebuah syarikat.